Kejohanan Pickleball Terbuka Perak Tarik Penyertaan Antarabangsa
- Camelia K
- Sep 10, 2025
- 1 min read
IPOH, 10 Sept – Lebih 200 peserta termasuk dari China dan Singapura bakal menyertai Kejohanan Pickleball Terbuka Perak 2025 yang akan berlangsung pada 13 dan 14 September ini di Pickleball Fun Club (PFC), Ipoh.
Pengerusi Tourism Perak, Datuk Mohamad Kamil Shafie berkata, kejohanan berskala nasional itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM40,000, menjadikannya antara kejohanan pickleball terbesar pernah dianjurkan di negeri ini.
“Kejohanan ini dianjurkan oleh Perfect Sports Pickleball Club bersama Pickleball Fun Club Ipoh dengan sokongan Tourism Perak. Ia bukan sahaja menarik penyertaan tempatan, malah mencuri perhatian pemain antarabangsa,” katanya dalam sidang media semalam.
Tiga kategori utama dipertandingkan – pemain baharu, amatur dan terbuka – yang merangkumi enam acara termasuk beregu lelaki, beregu campuran dan perseorangan lelaki berumur 19 tahun ke atas.
Menurut Mohamad Kamil, penganjuran ini juga menjadi platform penting untuk mencungkil bakat baharu, sekaligus membuka peluang kepada pemain tempatan mewakili Perak ke peringkat lebih tinggi seperti Sukan Malaysia (SUKMA).
“Selain nilai ganjaran, ini juga antara langkah strategik memperkukuh agenda pelancongan sukan Perak,” tambahnya.
Peserta yang berminat masih boleh mendaftar sehingga 11 September dengan menghubungi pihak PFC melalui saluran media sosial mereka.



Comments