top of page

KBS Utamakan Penambahbaikan Fasiliti Sukan di Kawasan Luar Bandar

  • TW
  • Jul 21
  • 1 min read

Sik, Kedah, 18 Julai 2025 – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menetapkan program peningkatan dan pembaikan fasiliti sukan luar bandar sebagai salah satu agenda keutamaan, menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.


Dalam satu sesi dialog bersama belia sempena Program Kembara JOM 2.0 Zon Utara, beliau menjelaskan bahawa keperluan kemudahan sukan berbeza mengikut lokasi, dan usaha penyelesaian perlu dilakukan melalui perancangan teliti. “Jika ada fasiliti sukan yang perlu pembaikan, ia tidak boleh selesai dalam satu malam jadi kita mula gerak kerja dari awal supaya kita dapat ambil tindakan,” demikian jelas beliau selepas menghadiri sesi di Kolej KEDA, Sik.


Adam Adli menambah bahawa tugas memperbaiki fasiliti akan dilakukan mengikut kemampuan KBS. Bagi projek yang memerlukan kerjasama kementerian lain, hasrat dan aduan itu akan disampaikan kepada pihak berkaitan supaya pelaksanaan lebih menyeluruh.


Program Kembara JOM 2.0 Zon Utara yang berlangsung dari 17 hingga 19 Julai, melibatkan lebih 90 peserta belia, telah dirancang untuk membuka ruang interaksi antara KBS dan masyarakat luar bandar. Melalui pendekatan anak angkat, peserta diberi peluang merasai kehidupan di desa sambil mengenal pasti keperluan sukan di peringkat akar umbi.


Beliau juga memaklumkan bahawa program ini akan diperluas ke beberapa negeri lain, termasuk Perak, Sabah, Sarawak, Pahang, dan Melaka, sebagai kesinambungan kepada usaha memperkasakan pembangunan belia secara menyeluruh

Comments


bottom of page