top of page

Kaki Sathiya Berisiko Dipotong Akibat Jangkitan Kuman

  • Adi Dit
  • Aug 26, 2025
  • 1 min read


KUALA LUMPUR, 25 Ogos 2025 – Pelawak berpengalaman, Sathiya atau nama sebenarnya Sathia Periasamy, 61, mendedahkan beliau bakal dimasukkan semula ke Hospital Ampang esok untuk pemeriksaan lanjut terhadap kaki kirinya yang dijangkiti kuman.


Menurut Sathiya, doktor akan menilai keadaan kaki tersebut, dan sekiranya jangkitan semakin serius, pembedahan pemotongan mungkin perlu dilakukan sebelum paras buku lali.

“Esok pagi saya ke hospital untuk doktor buat pemeriksaan. Kalau keadaannya teruk, kaki saya akan dipotong minggu ini. Kita tunggu hasil pemeriksaan esok dulu,” katanya ketika dihubungi.


Meskipun berita itu mengejutkan, Sathiya berkata beliau sudah bersedia menerima apa sahaja keputusan demi menjaga kesihatan.


“Saya reda. Kalau kena potong, saya akan guna kaki palsu. Tiada pilihan lain, asalkan kesihatan saya terjamin,” ujarnya.


Sebelum ini, pada awal Ogos lalu, beliau sudah menjalani pembedahan memotong tiga jari kaki kiri akibat jangkitan berpunca daripada diabetes.


Pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu era 1990-an itu menegaskan, meskipun tanpa kaki yang sempurna, beliau tidak akan meninggalkan dunia seni.

“Kalau ada tawaran, saya tetap mahu berlakon. Duduk di kerusi roda pun boleh berlakon, sebab berlakon ini banyak guna mulut dan ekspresi. Saya akan teruskan selagi mampu,” katanya penuh semangat.


Malam tadi, Sathiya turut menerima sumbangan berjumlah RM3,000 daripada Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), hasil kutipan Kejohanan Golf Amal PEKEMA 2025 yang berlangsung di Putrajaya.


Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez, bersama wakil PEKEMA, Ahmad Azmi Noordin, hadir menyerahkan bantuan itu di kediaman Sathiya.

Difahamkan, beliau sudah lama menghidap penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi, yang kini memberi kesan serius terhadap kesihatannya.

Comments


bottom of page