Jangkaan PRU16 Tahun Depan Hanya Spekulasi Politik – Penganalisis
- A. Zahid
- Sep 4
- 1 min read
Jangkaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahawa Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bakal diadakan seawal tahun depan disifatkan tidak berasas dan lebih kepada modal politik semata-mata.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, tiada keperluan untuk membubarkan Parlimen lebih awal kerana negara kini berada pada landasan yang baik dari segi ekonomi dan pelaksanaan dasar di bawah Kerajaan Perpaduan. “Soal pembubaran Parlimen adalah kuasa Perdana Menteri. Pembangkang boleh buat jangkaan, tetapi saya lihat ia tidak tepat,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan berpendapat isu PRU16 dimainkan pembangkang kerana penggal Parlimen sudah melepasi separuh penggal. “Sudah sampai musim untuk spin isu PRU16 kerana Parlimen sudah lebih dua tahun setengah. Namun, jika keadaan semasa tidak berubah drastik, kemungkinan PRU16 diadakan tahun depan adalah tipis,” jelasnya.
Ditanya sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 boleh dijadikan kayu ukur untuk menentukan kesesuaian PRU16, beliau tidak menolak kemungkinan itu. Namun, menurut penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamad, keputusan PRN Sabah tidak semestinya mencerminkan corak politik di peringkat nasional kerana faktor di negeri itu lebih bersifat domestik.
“Pola pengundian di Sabah jauh berbeza dengan di Semenanjung. Maka, ia tidak wajar dijadikan indikator. Politik Malaysia sering berubah dengan pantas, jadi keputusan PRN Sabah tidak boleh dijadikan ramalan apa yang bakal berlaku di Semenanjung,” katanya.
Beliau menjangkakan kerajaan akan memaksimumkan tempoh penggal pemerintahan sebelum memberi laluan kepada PRU16, mengambil kira keadaan semasa yang memerlukan fokus kepada dasar-dasar demi kesejahteraan rakyat. Tambahnya, pembangkang dilihat cuba menimbulkan persepsi bahawa kerajaan terpaksa mengadakan PRU16, sedangkan tidak wujud isu kerajaan kehilangan sokongan.







Comments