Jack Tan Puji Zizan Razak Pemurah, Belanja Kru & Pelakon Filem Terbang
- A. Zahid
- Sep 11, 2025
- 1 min read
Pelakon dan penyanyi, Jack Tan, menzahirkan rasa kagum terhadap keperibadian rakan seperjuangannya, Zizan Razak, yang dianggap bukan sahaja serba boleh sebagai artis, tetapi juga tidak lokek berkongsi rezeki dengan orang sekeliling.
Menurut Jack, 34, sifat pemurah Zizan jelas terserlah sepanjang penggambaran filem terbaharu mereka berjudul Terbang. Katanya, Zizan sering belanja makanan kepada pelakon serta kru, sehingga membuatkan suasana di set sentiasa ceria dan penuh keterujaan.
“Kalau Zizan ada di lokasi, kami tidak pernah lapar. Dia rajin belanja dan belikan makanan. Malah, dia pernah menghadiahkan seekor kambing untuk dimasak dan dimakan bersama-sama seluruh kru dan pelakon. Kehadiran Zizan memang menghidupkan suasana, semua jadi lebih seronok,” katanya ketika ditemui di set penggambaran di sini, kelmarin.
Jack yang pernah mencuri perhatian menerusi filem Abang Adik itu turut berkongsi pengalaman berlakon dengan pelakon berpengalaman lain seperti Namron. Katanya, Namron banyak memberi tunjuk ajar dalam menghayati watak yang memerlukan penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris.
“Dalam filem ini ada beberapa dialog yang perlu saya sampaikan dalam dua bahasa. Zizan dan Namron sentiasa membantu saya memahami maksud dialog supaya lebih mudah untuk saya hayati. Kami saling menyokong antara satu sama lain bagi menjayakan watak masing-masing,” ujarnya.
Filem Terbang arahan Chiu Keng Guan ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Irfan Zaini, Shweta Sekhon dan Diana Danielle. Filem tersebut diinspirasikan daripada kisah hidup pemandu rali legenda negara, Karamjit Singh, yang pernah mencipta nama di pentas dunia.
Jack menambah, peluang bekerjasama dengan barisan artis berpengalaman memberikan pengalaman berharga buat dirinya. “Bekerja dengan Zizan dan Namron bukan sekadar pengalaman lakonan, tetapi juga pengajaran tentang sikap rendah hati dan semangat kebersamaan,” katanya.



Comments