Isu Pembangunan Sabah dan Sarawak Jadi Fokus Perbahasan RMK13 di Parlimen
- Camelia K
- Aug 14, 2025
- 2 min read
KUALA LUMPUR – Isu pembangunan menyeluruh di Sabah dan Sarawak menjadi antara tumpuan utama dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini, apabila beberapa wakil rakyat dari Borneo mendesak perhatian serius terhadap keperluan infrastruktur dan pembangunan ekonomi yang mampan di wilayah berkenaan.
Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan (GRS-Keningau) mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah bekerjasama membangunkan sektor ekonomi biru sebagai strategi untuk mengangkat Sabah sebagai hab utama pengeluaran makanan negara. Beliau menekankan bahawa potensi negeri itu dalam bidang perikanan, pertanian dan penternakan harus dimanfaatkan secara menyeluruh dan tidak lagi bergantung kepada pelaksanaan projek secara terpisah.
“Saya percaya Sabah boleh menjadi bakul makanan negara sekiranya keseluruhan rantaian industri ini diteroka dan dibangunkan secara menyeluruh dengan pendekatan baharu,” katanya ketika berucap dalam perbahasan tersebut.
Sementara itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) menyeru kerajaan agar lebih serius dalam menjayakan projek pembangunan asas di Sabah. Menurutnya, masalah berpanjangan seperti bekalan air yang terhad, sekolah daif dan kelewatan Projek Lebuhraya Pan Borneo perlu segera diatasi bagi memastikan pembangunan negeri itu sejajar dengan negeri-negeri lain di Semenanjung.
Turut bersuara, Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) menekankan pentingnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi keutamaan kepada sekolah luar bandar di Sarawak, terutama bagi menangani isu kekurangan bilik darjah yang menyebabkan penggabungan kelas dan pelaksanaan sesi persekolahan dua kali sehari. Beliau mencadangkan penambahan blok baharu di sekolah kritikal serta pelaburan dalam kemudahan prasekolah, pengenalan awal kepada teknologi kecerdasan buatan, dan penyediaan alat digital interaktif.
“Ini penting untuk memastikan anak-anak luar bandar mendapat peluang pendidikan yang setara dengan pelajar di kawasan bandar,” tegasnya.
Dalam hal pembangunan sukan, beliau turut menggesa agar sebuah Sekolah Sukan Malaysia diwujudkan di Sarawak sebagai platform untuk mencungkil bakat muda dari luar bandar, sejajar dengan kejayaan atlet terkemuka negeri itu seperti Datuk Pandelela Rinong dan Bryan Nickson Lomas.
Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubuk Antu) pula menyarankan agar kawasan Lubuk Antu dibangunkan sebagai pelabuhan darat utama di Sarawak memandangkan kedudukannya yang strategik dan berdekatan dengan bandar utama di Kalimantan. Katanya, pelabuhan darat itu juga berpotensi menjadi pintu masuk penting dari Indonesia ke Malaysia dalam era pertumbuhan pesat Nusantara sebagai ibu negara baharu Indonesia.







Comments