Isu Laluan Timur-Barat Dibawa ke Kabinet Selepas Tragedi Bas UPSI
- Camelia K
- Jun 10
- 1 min read
GEORGETOWN, 10 Jun – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan bahawa isu keselamatan dan infrastruktur di laluan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) yang menghubungkan Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri esok.
Perkara itu susulan nahas tragis awal pagi semalam yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam kemalangan membabitkan sebuah bas sewa khas.
“Kita perlu mengambil tindakan segera dan drastik untuk pastikan keselamatan laluan ini ditingkatkan. Ini bukan soal satu kementerian, tetapi memerlukan kerjasama antara pelbagai agensi,” katanya ketika sidang media di Georgetown, hari ini.
Loke turut mengesahkan beliau akan turun ke lokasi kejadian di Gerik pada Khamis ini bersama beberapa agensi berkaitan untuk menilai keadaan laluan dan keperluan penambahbaikan.
Beliau turut memaklumkan bahawa pemasangan lampu jalan jenis solar akan dilaksanakan di laluan tersebut, terutama di kawasan yang dikenal pasti gelap dan berisiko tinggi.
Siasatan Menyeluruh Sedang Dijalankan
Ketika ditanya mengenai latar belakang pemandu bas yang dikatakan merupakan bekas pemandu lori, Loke menjelaskan bahawa siasatan sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Syarikat bas juga telah diberi surat tunjuk sebab oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), dan siasatan melibatkan rekod GPS bas akan digunakan untuk mengenal pasti kelajuan semasa kemalangan berlaku.
“Kita akan audit syarikat ini dan lihat sama ada mereka patuhi semua garis panduan keselamatan, termasuk dari segi penyelenggaraan kenderaan dan kelayakan pemandu,” katanya.
Tambahnya lagi, kementerian tidak akan membuat sebarang kesimpulan awal dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan siasatan.







Comments