top of page

Isu Konflik Thailand-Kemboja & Pengurusan Hutang Negara Jadi Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

  • Adi Dit
  • Aug 5
  • 1 min read

KUALA LUMPUR, 5 Ogos 2025 – Peranan Malaysia dalam menjayakan rundingan damai dan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja menjadi antara isu utama yang dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.


Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, perkara ini akan diketengahkan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee (GPS), dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri kepada Perdana Menteri.


Dalam sesi sama, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) turut mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri mengenai langkah-langkah kerajaan MADANI dalam mengurus hutang negara secara berhemah dan bertanggungjawab.


Sesi soal jawab turut menyaksikan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) menyoal Menteri Luar mengenai cadangan pembangunan bersama (Joint Development) dengan Indonesia di blok ND6 dan ND7 di Ambalat.


Beliau turut ingin tahu sama ada pendekatan tersebut menyerupai model Pihak Berkuasa Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA), dan memastikan hak-hak Sabah dan Sarawak terus terpelihara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Sementara itu, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) pula bertanya kepada Perdana Menteri mengenai hasil sesi libat urus kerajaan berkaitan penubuhan Ombudsman Malaysia, dan tindakan selanjutnya bagi mempercepatkan pelaksanaannya.


Dalam perkembangan lain, Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) bertanyakan kepada Menteri Pertahanan tentang perancangan kementerian untuk mengintegrasikan penggunaan pesawat tanpa pemandu (UAV) dalam sistem pertahanan udara negara.


Sidang Parlimen hari ini turut menyambung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu lalu.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadualkan berlangsung selama 24 hari, bermula 24 Julai hingga 28 Ogos.


Comments


bottom of page