Inisiatif Baucar Buku MADANI RM100 untuk Pelajar IPT Bermula Esok
- Camelia K
- Aug 27
- 1 min read
PUTRAJAYA – Inisiatif Baucar Buku MADANI bernilai RM100 akan mula dilaksanakan esok, 28 Ogos hingga 12 Disember 2025, memanfaatkan lebih 500,000 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan bahawa pelajar daripada universiti awam, politeknik, kolej komuniti serta institusi pengajian tinggi swasta layak menerima manfaat ini.
Inisiatif ini merupakan antara usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk meringankan beban kewangan pelajar, menyokong keperluan pembelajaran serta menggalakkan budaya membaca dalam kalangan anak muda. Pada masa yang sama, ia juga dijangka membantu merangsang pertumbuhan industri buku negara.
Baucar tersebut boleh digunakan untuk membeli buku akademik, bahan rujukan, e-book dan bacaan umum lain melalui portal sehenti MySiswaPlace, yang menawarkan lebih sejuta judul bahan bacaan daripada lebih 250 rakan niaga.
KPT dalam kenyataan turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas persetujuan kerajaan meneruskan pelaksanaan bantuan baucar buku RM100 ini kepada pelajar IPT warganegara Malaysia.
Kementerian berharap pelajar yang layak dapat menggunakan peluang ini untuk menambah ilmu dan meningkatkan kemahiran diri, selaras dengan matlamat melahirkan bakat terbaik negara.







Comments