top of page

Ibu Muda Bersalin di Tepi Jalan, Tali Pusat Bayi Diikat dengan Tali Kasut

  • Adi Dit
  • Aug 12, 2025
  • 1 min read

JOHOR BAHRU – Detik cemas dialami seorang ibu muda apabila terpaksa melahirkan bayi di tepi jalan berhampiran lampu isyarat Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, kelmarin, selepas tiba-tiba mengalami sakit bersalin ketika membonceng motosikal suaminya.


Wanita berusia awal 20-an yang dipercayai berasal dari Sabah itu dikatakan menahan sakit sebelum turun dari motosikal dan baring di tepi jalan kira-kira jam 2 petang. Proses kelahiran dibantu oleh beberapa pengguna jalan raya yang berada di lokasi.


Salah seorang saksi, Syarifah Munawwarah Sayed Muhammad, 36, berkata beliau bersama suami ketika itu berhenti di persimpangan lampu isyarat dan ternampak seorang wanita cuba menenangkan si ibu, manakala seorang lagi wanita membantu.


"Suami wanita itu memanggil saya untuk membantu kerana ramai yang dipanggil sebelumnya takut dan tidak berani. Saya juga pada mulanya ragu kerana membabitkan nyawa ibu dan bayi, tetapi saya nekad. Kami letakkan payung untuk menghalang pandangan orang ramai.

"Sebaik saya sampai, ibu itu sudah meneran separuh. Kami beri semangat dan bayi keluar dengan selamat. Tiada seorang pun antara kami berpengalaman, jadi saya hubungi rakan jururawat untuk mendapatkan panduan.


"Memandangkan kami berada di tepi jalan dan hujan renyai, rakan saya menasihatkan supaya tali pusat diikat. Seorang penghantar makanan yang membantu memberi tali kasutnya untuk digunakan," katanya.


Syarifah turut memaklumkan mereka segera menghubungi ambulans dan pihak hospital untuk membawa ibu dan bayi ke Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi rawatan lanjut. Bayi lelaki tersebut dilaporkan berada dalam keadaan sihat, manakala ibunya masih menerima rawatan di hospital.


Kejadian itu tular di media sosial selepas satu rakaman berdurasi 41 saat memaparkan empat wanita membantu proses kelahiran di tepi jalan dalam suasana hujan renyai, mendapat perhatian ramai netizen yang memuji keberanian mereka.

Comments


bottom of page