Hafiz Suip Sah Bercerai, Kekal Berhubung Baik Dengan Bekas Isteri Demi Anak
- Camelia K
- Jul 30
- 1 min read
KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal Hafiz Suip mengesahkan rumah tangganya dengan Nureffy Jasreel Abdullah berakhir dengan talak satu yang disahkan Mahkamah Syariah Shah Alam pada 29 Mei lalu.
Menurut Hafiz, 35, hak penjagaan dua anak mereka diserahkan kepada bekas isterinya buat sementara waktu kerana percaya ibu adalah tempat terbaik untuk anak-anak membesar.
“Secara rasmi saya bercerai talak satu pada 29 Mei. Anak-anak kini di bawah jagaan bekas isteri kerana secara rasionalnya, ibu adalah tempat perlindungan mereka,” katanya ketika ditemui pada sesi beramah mesra bersama media di Wangsa Maju, Isnin malam.
Hafiz, yang kini menetap di Kuching, menegaskan hubungan baik dengan bekas isterinya tetap dikekalkan demi kelancaran urusan anak-anak.
“Saya tak mahu rumitkan keadaan. Setiap hari saya fikirkan anak-anak, tetapi mereka juga ada jadual sekolah. Kami masih berbincang cara terbaik supaya saya dapat berjumpa mereka, mungkin sebulan sekali di Kuala Lumpur,” ujarnya.
Tambahnya, proses penceraian yang dilalui sudah cukup meletihkan dan dia tidak mahu menimbulkan konflik baharu.
Hafiz juga menyatakan dia tidak menyesal dengan apa yang berlaku, sebaliknya reda dengan ketentuan Ilahi yang dianggap sebagai pengajaran hidup.
“Semua ini adalah takdir. Kita hanya perlu jalani kehidupan seterusnya tanpa saling menyalahkan. Kalau nak rasa tenang, kena berdamai dengan takdir,” katanya.
Hafiz dan Nureffy berkahwin pada 14 Mei 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayne, 5.







Comments