top of page

GRS Tegas Sokong Kerajaan MADANI, Hajiji Tegaskan Komitmen Kepentingan Sabah

  • TW
  • Jul 28
  • 1 min read

KOTA KINABALU, 27 Julai 2025 – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan kesetiaan terhadap Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai pengiktirafan terhadap pelaksanaan tuntutan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang semakin memberi hasil. Pengerusi GRS sekaligus Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menyatakan sokongan tersebut sewaktu ucapan penutup Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) di Sabah International Convention Centre (SICC) malam ini.


Menurut Hajiji Noor, keputusan tersebut bertepatan dengan realiti politik serta hasil positif pelaksanaan dasar bersama yang memberi manfaat langsung kepada kepentingan negeri Sabah. “Saya ingin menyatakan sekali lagi bahawa GRS tetap menyokong Perdana Menteri. Banyak inisiatif dan tuntutan kita dalam MA63 telah diluluskan oleh Perdana Menteri,” tegas beliau.


Beliau turut menambah bahawa sebelum era Kerajaan MADANI, usaha menuntut pelaksanaan MA63 sering menghadapi halangan, termasuk institusi pusat yang lambat memberi respons. “Kalau Kerajaan MADANI ini baik untuk negeri kita, mengapa kita tidak sokong?” ujarnya yang mendapat tepukan hadirin.


Dalam ucapannya juga, Hajiji Noor mengakui bahawa sokongan GRS terhadap Anwar dilandaskan oleh sikap kerajaan terdahulu yang tidak bersahabat dengan konsep ‘Blok Borneo’. Keadaan itu menyebabkan beliau membuat keputusan rasional untuk menyokong pentadbiran semasa demi kebajikan rakyat Sabah.

.

Selain mempertahankan sokongan politik, Hajiji Noor turut memaklumkan kehadirannya mewakili kerajaan negeri dalam Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-13 yang dijadual berlangsung di Jakarta esok, termasuk membincangkan isu strategik Laut Sulawesi.

Comments


bottom of page