top of page

Gabungan 12 Parti Pembangkang: Ulangan Sejarah atau Kuasa Baharu?

  • E. Guan
  • Aug 25, 2025
  • 3 min read

Pada hari Selasa lalu, sebanyak 12 parti pembangkang iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Kemajuan Malaysia (MAP), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI), mengumumkan pembentukan sebuah gabungan longgar bagi menghadapi pilihan raya umum ke-16. Nama rasmi gabungan tersebut akan diumumkan kemudian.


Dalam gabungan baharu ini, terdapat dua blok yang pernah bertanding pada PRU15: Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Bersatu, PAS dan Gerakan; serta Gerakan Tanah Air (GTA) yang merangkumi Pejuang, Berjasa, Putra dan Iman. Mereka bakal berdepan dengan enam parti kerajaan yang kini membentuk Pakatan Harapan (PKR, DAP, Amanah) dan Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC). Walaupun kerajaan hari ini digelar “Madani”, gabungan PH-BN tidak mempunyai nama rasmi.


Secara asasnya, parti politik lahir dengan identiti, aspirasi pengasas, serta pengaruh latar belakang pemimpinnya. Selepas beroperasi, parti dibentuk oleh ahli, aktivis dan penyokong, serta dipengaruhi sejarah dan akar tradisinya. Gabungan parti pula berfungsi sebagai “supra-parti” yang memayungi komponen di bawahnya, dengan tahap ketat atau longgar bergantung pada struktur.


Dalam sejarah, Parti Komunis Malaya (PKM) adalah parti politik pertama ditubuhkan pada 1930 di Kuala Pilah, sebelum dibubarkan pada 1989 di Hatyai. Parti politik Melayu pertama ialah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), ditubuhkan pada 1945 di Ipoh. PKMM pernah menyertai UMNO pada awalnya, sebelum keluar dan menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (Putera) yang kemudian bersekutu dengan AMCJA. Gabungan Putera-AMCJA ini ditubuhkan pada 1946 di Singapura dan bubar pada 1948. Dari gabungan AMCJA, hanya MIC yang masih kekal hingga kini.


UMNO pula pada awalnya gabungan pelbagai persatuan, sebelum menjadi parti tunggal. Ia kemudian bergabung dengan MCA dan MIC membentuk Perikatan, yang menang PRU 1955. Pada hari kemerdekaan, PRM dan PBM menubuhkan Barisan Sosialis Rakyat Malaya (Socialist Front, SF). Dalam PRU 1964, SF turut disertai NCP.


Istilah “barisan” mula popular di Indonesia pascarevolusi (1945–1947). Malaysia hanya memperkenalkan istilah “nasional” pada 1969. Kemuncaknya, pada 1974 Tun Razak mengumumkan penubuhan Barisan Nasional (BN) menjelang PRU4, merangkumi UMNO, MCA, MIC, PAS, Gerakan, PPP serta parti-parti Sabah dan Sarawak.


Pengalaman penulis meliputi gabungan pembangkang bermula PRU7 (1986), ketika PAS menubuhkan Harakah Keadilan Rakyat (HAK). DAP menarik diri pada saat akhir. PRU8 (1990) pula menyaksikan Parti Semangat 46 memimpin dua gabungan: Angkatan Perpaduan Ummah (PAS, S46, Berjasa, Hamim, KIMMA) dan Gagasan Rakyat (S46, DAP, PRM, IPF, PBS).

PRU10 (1999) menampilkan Barisan Alternatif (BA) yang menggabungkan KeADILan, PAS, DAP dan PRM. Pada PRU12 (2008), BA hanya tinggal PKR dan PAS, tetapi bekerjasama dengan DAP dan PSM (bertanding atas tiket PKR). Selepas kemenangan besar, Pakatan Rakyat (PR) dibentuk oleh PKR, PAS dan DAP. Namun PR bubar apabila PAS keluar, lalu lahirlah Pakatan Harapan (PH) pada 2015. Bersatu kemudian menyertai PH menjelang PRU14 (2018).


Dalam PRU15 (2022), Semenanjung menyaksikan persaingan empat blok: PH (PKR, DAP, Amanah), PN (Bersatu, PAS, Gerakan), GTA (Pejuang, Putra, Berjasa, Iman), serta Muda yang bertanding dengan kerjasama PH.


Melihat sejarah ini, banyak parti kecil tidak berkembang, malah sekadar menjadi alat politik parti besar. Sebahagian parti lama seperti MCA, MIC dan Gerakan mengecil peranan mereka. Parti-parti kecil lain seperti Muda, Pejuang, Putra, Berjasa, Iman, MAP, PSM atau URIMAI sering tenggelam dalam gabungan tanpa membentuk “kuasa ketiga” yang berpengaruh.


Hakikatnya, kuasa dalam politik sering menggoda, hingga melahirkan istilah “mabuk kuasa” atau “gila kuasa”. Kuasa yang sepatutnya amanah untuk rakyat mudah bertukar menjadi rebutan peribadi. Maka dalam politik Malaysia, hala tuju tetap ditentukan parti utama — PKR, DAP, UMNO dan PAS. Dalam konteks gabungan 12 parti terbaru, Bersatu dianggap lebih dominan berbanding PAS kerana presidennya dilihat berpotensi kembali menjadi Perdana Menteri, manakala PAS hanya berfungsi sebagai “king maker”.

Comments


bottom of page