FAM Sasar Kutipan Tajaan RM15 Juta Tahun Ini
- Camelia K
- Aug 20, 2025
- 1 min read
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menetapkan sasaran untuk meraih tajaan bernilai RM15 juta bagi tahun 2025, yang akan digunakan bagi tujuan pengurusan pentadbiran serta pembangunan skuad kebangsaan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penajaan dan Pemasaran FAM, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, jumlah tajaan yang telah berjaya dikumpulkan setakat ini adalah antara RM7 juta hingga RM8 juta.
"Jumlah yang kita ada ini masih kekurangan dan kami berusaha untuk capai sasaran yang ditetapkan. Kita juga selepas ini akan menerima tajaan daripada syarikat lain," katanya dalam sidang media ketika mengumumkan pembaharuan kerjasama antara FAM dan jenama minuman isotonik 100PLUS.
Dalam majlis sama, beliau turut memaklumkan bahawa 100PLUS akan kekal sebagai Rakan Minuman Isotonik Rasmi untuk pasukan kebangsaan bagi tempoh dua tahun lagi, dengan jumlah tajaan keseluruhan sebanyak RM2 juta.
Sementara itu, Pengurus Pemasaran F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Muhammad Raffiq Mohd Razip menyatakan penghargaan terhadap kerjasama erat yang telah terjalin antara syarikat itu dan FAM sejak sekian lama.
"100PLUS sentiasa setia dan menyokong bola sepak di Malaysia. Kami berasakan bahawa cara terbaik untuk menyumbang kepada perkembangan dan pembangunan sukan ini ialah menerusi kerjasama dengan FAM," katanya.







Comments