Empat Syarikat MKD Catat Kerugian, Fokus Terus Kepada Khidmat Rakyat
- Adi Dit
- Aug 26
- 2 min read
KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2025 – Empat syarikat di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) iaitu Prasarana Sdn Bhd, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) dilaporkan mengalami kerugian berdasarkan laporan kewangan beraudit 2023.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan menjelaskan kerugian tersebut berlaku kerana syarikat berkenaan melaksanakan projek infrastruktur awam, khususnya pengangkutan rel dan pembinaan jambatan, yang berorientasikan perkhidmatan kepada rakyat. Langkah itu menyebabkan kos operasi lebih tinggi berbanding hasil, namun kerajaan mengekalkan kadar tambang rendah serta berpatutan bagi memastikan kemudahan dapat dinikmati semua golongan masyarakat.
Menurut kementerian, MKD sebagai pemegang saham majoriti sentiasa berusaha meningkatkan kawalan bagi memantau prestasi kewangan dan tadbir urus syarikat. Antara langkah yang diambil termasuk pembentangan pelan perniagaan tahunan, penetapan dan pemantauan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) setiap suku tahun, pelaporan kewangan beraudit tahunan serta mesyuarat Corporate Improvement Programme (CIP) bagi syarikat yang gagal mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus sasaran KPI. Syarikat yang tidak memenuhi KPI turut diminta mengemukakan penjelasan dan pelan tindakan pembetulan.
Walaupun terdapat syarikat mencatatkan kerugian, beberapa syarikat MKD lain kekal mencatatkan keuntungan. Antaranya Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank), IJN Holdings Sdn Bhd dan SIRIM Berhad.
Kementerian menegaskan bahawa syarikat GLC di bawah MKD tidak semata-mata berorientasikan keuntungan tetapi berperanan memenuhi mandat kerajaan. Peranan itu termasuk menyediakan perkhidmatan dan obligasi sosial seperti pengangkutan awam dan utiliti, menyokong pembangunan ekonomi melalui industri baharu yang memerlukan modal besar, menggalakkan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan nanoteknologi, selain menarik pelaburan dalam sektor bernilai tinggi.
Selain itu, penubuhan syarikat MKD juga bertujuan menampung jurang pasaran yang tidak diceburi pihak swasta dan memastikan kepentingan kerajaan terus terpelihara dalam sektor strategik negara.
Kenyataan tersebut merupakan jawapan bertulis Kementerian Kewangan di Parlimen kepada soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai senarai syarikat GLC yang mengalami kerugian terbesar serta langkah dan tindakan undang-undang yang diambil kerajaan bagi menangani isu berkenaan.







Comments