Eda Ezrin Trauma untuk Kembali ke Thailand Selepas 9 Bulan Dipenjara
- Camelia K
- Aug 20, 2025
- 1 min read
KOTA BHARU – Penyanyi dikir barat popular dari Kelantan, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, mengakui dirinya masih trauma untuk menjejakkan kaki ke Thailand selepas melalui detik hitam apabila ditahan selama sembilan bulan di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat.
Menurut Eda, 30, yang dibebaskan pada 6 Ogos lalu, pengalaman itu telah meninggalkan kesan mendalam yang sukar dipadam meskipun beliau kini telah kembali ke pangkuan keluarga. Katanya, lawatannya ke Thailand sebelum ini adalah semata-mata untuk tujuan persembahan seni, bukan melancong seperti yang disangka ramai.
“Walaupun saya sudah kembali ke rumah, kesannya masih ada. Kalau orang tanya saya nak ke Thailand lagi ke lepas ni? Sudah tentu tidak,” katanya ketika ditemui media.
Ibu kepada dua anak itu juga berkongsi bahawa pengalamannya di sebalik tirai besi turut mengajarnya erti sebenar persahabatan. Katanya, hanya apabila berada dalam keadaan terendah dalam hidup, barulah dia dapat melihat siapa yang benar-benar hadir sebagai kawan.
“Waktu dalam penjara, saya baru tahu siapa kawan, siapa sahabat. Tiada siapa datang melawat, dan saya sedar, lebih baik berkawan sedikit tapi berkualiti. Apa yang berlaku pun, sebenarnya berpunca daripada kawan atas kawan juga,” jelasnya penuh emosi.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Eda, bersama suami dan empat lagi individu, telah ditahan di Thailand namun dibebaskan selepas lebih sembilan bulan. Mahkamah Thailand membebaskan mereka selepas pihak pendakwa raya gagal mengemukakan bukti dan saksi yang mencukupi untuk meneruskan perbicaraan.
Pengalaman pahit itu kini menjadi sempadan buat Eda, yang tekad untuk tidak lagi terjerumus dalam situasi yang sama. Katanya, apa yang berlaku cukup untuk menjadi pengajaran seumur hidup.



Comments