top of page

E-Sukan Antara Empat Sukan Baharu di SUKMA 2026

  • Writer: Camelia K
    Camelia K
  • Aug 6
  • 1 min read

SHAH ALAM – E-sukan, catur, kriket dan kabadi diumumkan sebagai empat sukan tambahan yang akan dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.


Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata kelulusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dipengerusikannya pada Selasa.


“Sukan tinju dan sofbol turut dipilih sebagai sukan wajib, menjadikan jumlah keseluruhan sukan wajib kini 30, manakala dengan tambahan empat sukan baharu, keseluruhan 34 acara akan dipertandingkan di SUKMA 2026,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat tersebut.


Hannah menegaskan keputusan itu muktamad bagi memastikan penganjur mempunyai tempoh persiapan mencukupi menjelang temasya yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 di sembilan daerah di Selangor.


Mesyuarat turut meluluskan penyertaan rasmi kontinjen Brunei, dengan jenis serta jumlah sukan yang disertai akan ditentukan oleh Jawatankuasa Khas Teknikal SUKMA dalam masa terdekat.


Dalam pada itu, Hannah memaklumkan beberapa langkah baharu akan dilaksanakan bagi meningkatkan penglibatan atlet dan pegawai teknikal wanita selepas isu kekurangan penyertaan pada SUKMA 2024 di Sarawak.


Antaranya, setiap acara terbuka akan mewajibkan penyertaan atlet berlainan jantina, manakala sukan Olimpik akan tetap berlangsung walaupun jumlah penyertaan atlet wanita tidak mencapai syarat minimum enam negeri.


Bermula SUKMA 2026, setiap kontinjen juga perlu melantik seorang ketua atau timbalan ketua kontinjen wanita serta memastikan 20 peratus pegawai sokongan terdiri daripada wanita. Selain itu, sekurang-kurangnya 30 peratus sukarelawan dan 20 peratus pegawai teknikal kejohanan turut akan melibatkan wanita.


Mesyuarat Exco Belia dan Sukan Negeri-Negeri yang diadakan serentak turut memutuskan bahawa pengurusan penyertaan atlet ke Para SUKMA akan diambil alih Majlis Sukan Negeri bermula edisi 2026, bagi memperkemas persediaan dan pembangunan bakat atlet para di peringkat negeri.

Comments


bottom of page