top of page

Dewan Rakyat Kecoh Isu 13 Mei: Jelutong dan Pendang Berbalas Kata

  • Adi Dit
  • Aug 12
  • 2 min read

KUALA LUMPUR – Sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini bertukar tegang apabila berlaku perang mulut antara RSN Rayer (PH–Jelutong) dan Datuk Awang Hashim (PN–Pendang) berhubung isu perkauman dan tragedi 13 Mei 1969.


Kekecohan bermula apabila Rayer membangkitkan rasa tidak puas hati kerana tiada tindakan diambil terhadap Awang yang minggu lalu didakwa mengaitkan perbahasan RMK13 dengan isu perkauman, termasuk menyentuh tragedi rusuhan kaum tersebut.


Awang bangkit mempertahankan diri dengan menyatakan beliau belum menerima surat daripada Speaker, Tan Sri Johari Abdul, berhubung perkara itu. Rayer pula mempersoalkan bagaimana Awang tidak menerima surat tersebut sedangkan beliau sebagai pencadang usul telah pun mendapat salinannya.


“Kalau kenyataan seperti ini dibuat oleh orang biasa di luar, mereka sudah ditahan dan didakwa. Tetapi bila Ahli Parlimen bangkitkan isu 13 Mei, masih tiada tindakan. Saya mahu Pendang dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” tegas Rayer.


Ketegangan meningkat apabila Awang secara sinis berkata, “Rasanya dia (Rayer) terbabit 13 Mei, sebab itu dia kacau sangat.” Kenyataan itu mencetuskan bantahan daripada Chong Zhemin (PH–Kampar) yang mendesak Awang menarik balik tuduhan tersebut. Awang akhirnya menarik balik ucapannya selepas diarahkan Speaker.


Namun, suasana kembali panas apabila Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN–Indera Mahkota) pula bangkit memberi penjelasan berhubung usul yang difailkan Rayer terhadapnya pada 30 Julai lalu. Menurut Saifuddin, beliau didakwa melanggar peraturan mesyuarat ketika mengemukakan soalan berkaitan kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir kepada Menteri Pendidikan, yang enggan menjawab.


“Ketika ribuan orang melaungkan ‘Justice for Zara’, saya pula menerima usul daripada Jelutong,” katanya. Beberapa Ahli Parlimen pembangkang menyokong Saifuddin dan mencelah perbahasan, menyebabkan suasana kembali kecoh.


Johari beberapa kali mengarahkan semua Ahli Parlimen duduk dan memaklumkan akan meneliti penjelasan Saifuddin. Perbahasan RMK13 diteruskan semula oleh Datuk Seri Aminuddin Harun (PH–Port Dickson) dengan 21 pembahas dijadualkan mengambil bahagian hari ini.

Comments


bottom of page