top of page

Cat Fashion Week Bagaikan AJL Untuk Si Comel Berbulu

  • TW
  • Jul 24, 2025
  • 2 min read

KUALA LUMPUR: Program Cat Fashion Week anjuran TV3 bukan sekadar pertunjukan biasa – ia ibarat pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), tetapi khas untuk si comel berbulu! Acara ini menyaksikan para pemilik kucing tampil penuh gaya bersama haiwan kesayangan mereka dalam persembahan kreatif dan menyentuh hati.


Barisan juri acara ini cukup berwibawa dan unik, merangkumi nama-nama popular seperti Mark Adam dan Shiha Zikir yang juga pencinta kucing, wakil Kelab Kucing Malaysia, serta Mohd Jeffrey Mohamad Ali – pengasas dan tenaga pengajar MJMA Academy yang pakar dalam grooming kucing. Turut serta ialah pereka fesyen terkenal tanah air, Rizman Nordin.


Menurut Penerbit Eksekutif TV3, Marlia Musa, ilham untuk Cat Fashion Week hadir setelah melihat sambutan luar biasa rakyat Malaysia terhadap kandungan berkaitan haiwan, khususnya kucing, dalam program seperti Majalah 3 dan Malaysia Hari Ini.


“Kami mahu memberikan sesuatu yang segar dan bermakna kepada penonton. Ia juga menjadi peluang untuk mencipta momen istimewa antara pemilik dan haiwan kesayangan mereka, selain menanamkan rasa cinta terhadap kucing dalam kalangan masyarakat,” ujar Marlia.


Menariknya, pemarkahan bukan semata-mata berdasarkan pakaian yang digayakan kucing, tetapi turut menitikberatkan aspek kebersihan, kesihatan serta penjagaan bulu dan kulit haiwan.


Shiha Zikir, yang turut menjadi juri, meluahkan rasa teruja dengan kreativiti peserta. “Saya benar-benar terhibur. Ada pertukaran pakaian, nyanyian, dan prop yang menarik – terasa macam tengok AJL, tapi versi kucing! Tahniah kepada semua,” katanya penuh semangat.

Finalis yang menyertai acara ini turut meluahkan keterujaan mereka. Nurul Izzah Ramli, pemilik kucing bernama Omey, mengakui pengalaman ini sangat luar biasa.


“Pada mulanya saya fikir ia hanya pertunjukan ringkas, tetapi rupa-rupanya lengkap dengan segmen bual bicara di MHI dan sesi fotografi profesional. Ini sesuatu yang sangat berharga buat kami,” katanya.


Bagi Nurmayani Asmuni yang bertanding bersama kucingnya, Kristoff, penyertaan ini bukan sahaja membuka ruang perkenalan dengan pencinta kucing lain, tetapi turut memberi peluang untuk belajar lebih banyak tentang penjagaan kucing secara profesional.

“Banyak ilmu saya dapat, bukan sekadar bergaya atas pentas,” katanya sambil tersenyum puas.


Cat Fashion Week bukan sahaja mengangkat kucing sebagai haiwan kesayangan, tetapi turut memperlihatkan keakraban dan kasih sayang mendalam antara manusia dan makhluk peliharaan mereka. Ia secara tidak langsung memberi mesej bahawa haiwan juga wajar dihargai dan diraikan dalam cara yang unik dan bermakna.

Comments


bottom of page