top of page

Caklempong Acastra Wakili Malaysia ke Final IMTC di Jepun

  • Writer: Camelia K
    Camelia K
  • Jul 30, 2025
  • 1 min read

KUALA LUMPUR – Pasukan muzik tradisional Caklempong Acastra dari Akademi Sains Pendang, Kedah bakal membawa nama Malaysia ke pentas akhir Pertandingan Bakat Muzik Antarabangsa (IMTC) yang akan berlangsung di Dewan Aiwa, Fukuoka, Jepun pada 8 Ogos ini.


Kumpulan yang dianggotai 14 pelajar ini turut dijadual mengadakan persembahan khas selama dua hari di Pavilion Malaysia sempena Ekspo 2025 Osaka bersempena Minggu ASEAN, bagi memperkenalkan keunikan alunan tradisional negara di peringkat dunia.


Ketua kumpulan, Muhammad Aidil Adid Mohd Nor Azizi, 15, berkata peluang ke Jepun hadir selepas kejayaan mereka menjuarai IMTC Bangkok baru-baru ini. “Kemenangan itu membuka laluan ke pentas akhir IMTC di Jepun. Kami amat berbangga dapat mewakili negara,” katanya.

Muhammad Aidil turut memiliki kebolehan luar biasa dalam muzik apabila mampu mengenal pasti not dan alunan bonang hanya melalui pendengaran sebelum memainkan semula lagu tanpa rujukan nota.


Seorang lagi anggota, Airil Muamar Azizi, 15, yang juga ketua pasukan robotik akademi itu, mengakui teruja menyertai pertandingan walaupun muzik bukan bidang utama. “Walaupun robotik minat saya, caklempong tetap dekat di hati. Kami akan beri yang terbaik demi mengharumkan nama negara,” katanya.


Ketua Delegasi, Dr Mohd Hafizi Nordin, menyifatkan penyertaan di IMTC dan persembahan di Osaka sebagai pencapaian besar bagi pelajar-pelajar tersebut, yang buat pertama kali akan menjejakkan kaki ke Jepun.


Ditubuhkan pada Jun 2023, Caklempong Acastra sebelum ini menjuarai Kids Got Talent Malaysia Musim Kesembilan, sekali gus dinobatkan sebagai Juara Kebangsaan bagi kategori alat muzik tradisional.


Kejayaan itu turut melayakkan mereka menerima pas eksklusif ke saringan America's Got Talent Musim Ke-21 hujung tahun ini, sekali lagi membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.

Comments


bottom of page