top of page

Cadangan Akta Anti-Buli Dijangka Dibawa ke Kabinet, Azalina Tegaskan Keperluan Undang-Undang Khusus

  • Writer: Camelia K
    Camelia K
  • Aug 20
  • 2 min read

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk menggubal Akta Anti-Buli dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.


Menurut beliau, perbincangan peringkat dasar sedang berlangsung melibatkan beberapa kementerian penting seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Kementerian Perpaduan Negara, bagi memastikan pendekatan menyeluruh dan berkesan dalam menangani isu buli yang kian meruncing.


“Setiap kementerian mungkin ada pandangan tersendiri mengenai aspek penguatkuasaan. Selepas semua pandangan dikumpul, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan buat kajian dan libat urus sebelum dibawa ke Parlimen,” katanya ketika ditemui di Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di Kuala Lumpur hari ini.


Azalina turut menegaskan bahawa kekosongan ketara dalam sistem perundangan semasa ialah ketiadaan definisi khusus tentang buli serta hukuman yang jelas bagi kesalahan tersebut. Buat masa ini, kes-kes buli ditangani melalui pelbagai akta sedia ada termasuk Akta Keselamatan Dalam Talian, Akta Antigangguan Seksual, serta beberapa seksyen dalam Kanun Keseksaan dan undang-undang buruh.


Katanya lagi, langkah penubuhan tribunal khas bagi mengendalikan kes buli yang melibatkan pelajar dan kanak-kanak juga sedang dipertimbang dan akan dibentangkan bersama dalam mesyuarat Kabinet. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menyuarakan sokongan terhadap cadangan penubuhan tribunal tersebut.


Dalam pada itu, Azalina menjelaskan bahawa masih ramai masyarakat yang keliru mengenai aspek perundangan melibatkan kanak-kanak. Menurutnya, walaupun seseorang itu masih di bawah umur, mereka tetap boleh dituduh di bawah undang-undang jenayah — cuma prosedurnya berbeza.


“Kanak-kanak tidak boleh dibicarakan di mahkamah terbuka, tapi undang-undang tetap terpakai kepada semua, sama ada dewasa atau kanak-kanak. Salah tetap salah,” tegas beliau.

Bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan orang awam, BHEUU akan mengeluarkan dokumen Soalan Lazim (FAQ)bagi menerangkan perbezaan antara peruntukan dalam Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak dalam masa terdekat.


Mengulas lanjut, Azalina turut memuji tindakan Kementerian Pendidikan yang telah merangka sebuah dokumen panduan menyeluruh untuk menangani kes buli di sekolah. Panduan itu, menurutnya, sangat terperinci dan boleh dijadikan rujukan utama di peringkat pentadbiran sekolah.


Forum Undang-Undang ASEAN 2025 yang berlangsung selama tiga hari itu menghimpunkan lebih 300 peserta dan 58 penceramah dari pelbagai negara rantau ini, termasuk wakil daripada UNCITRAL, Timor-Leste, dan Laos, membincangkan isu-isu berkaitan akses kepada keadilan, reformasi undang-undang dan hak asasi manusia dalam era digital.

Comments


bottom of page