Bersatu Lancar Inisiatif “BERSATU Infaq” Tampung Kos Pentadbiran Parti
- E. Guan
- Aug 18
- 1 min read
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini melancarkan inisiatif BERSATU Infaq, satu usaha bagi mengumpul sumbangan untuk menampung sebahagian kos pentadbiran dan pengurusan parti di semua peringkat, susulan pembekuan akaun rasmi mereka oleh pihak berkuasa sejak Januari 2023.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menjelaskan bahawa pelancaran ini merupakan langkah proaktif untuk memastikan kelangsungan operasi parti, sambil menegaskan bahawa tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap Bersatu sebagai sebuah entiti.
“Tuduhan hanya dikenakan terhadap saya atas motif politik. Semua sumbangan tidak pernah masuk ke akaun peribadi saya,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi.
Menurut beliau, semua sumbangan dimasukkan ke akaun rasmi parti yang telah diaudit, dibentangkan serta diluluskan dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT), sebelum diserahkan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) setiap tahun tanpa masalah. Bersatu juga telah mencabar pembekuan akaun itu di mahkamah agar ia boleh digunakan semula untuk tujuan pentadbiran.
Pelancaran BERSATU Infaq berlangsung di Tambun dengan kehadiran barisan pimpinan utama termasuk Setiausaha Agung Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ketua Penerangan Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, Ketua Srikandi Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ketua Srikandi Muda Nurul Ezzati Azmi dan Ketua Bersekutu Dr Chong Fat Full.
Muhyiddin turut berharap agar program ini mendapat sokongan bukan sahaja daripada ahli parti, malah daripada masyarakat umum yang yakin dengan perjuangan Bersatu.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menjelaskan bahawa pembekuan akaun dilakukan untuk membolehkan siasatan terhadap dakwaan salah laku melibatkan lebih RM300 juta. Pada April 2023, akaun Bersatu disita selepas SPRM mengemukakan perintah di bawah Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) kepada pihak bank.







Comments