Bekas Bintang Liverpool John Barnes Sekali Lagi Berdepan Petisyen Muflis
- Adi Dit
- Aug 12, 2025
- 1 min read
LIVERPOOL – Bekas penyerang legenda Liverpool, Arsenal dan skuad kebangsaan England, John Barnes, sekali lagi berdepan petisyen muflis selepas HM Revenue & Customs (HMRC) memfailkan tuntutan terhadapnya di Mahkamah Tinggi pada Jumaat lalu.
Laporan Mail Sport pada Jun lalu mendedahkan Barnes menanggung hutang melebihi RM8.53 juta melalui syarikat medianya, susulan larangan tiga setengah tahun menjadi pengarah syarikat yang dikenakan ke atasnya.
Menurut The Telegraph, laporan pelikuidasi terkini mendedahkan bekas pemain Newcastle United dan Watford itu masih berhutang RM4.4 juta kepada HMRC bagi Cukai Nilai Tambah (VAT), caruman insurans nasional (NI) dan cukai gaji (PAYE) yang belum dilunaskan.
Selain itu, Barnes turut berhutang RM2.63 juta kepada pemiutang tidak bercagar, RM1.26 juta dalam bentuk pinjaman pengarah, serta menanggung kos pelikuidasi sebanyak RM320,000. Beliau setakat ini telah membayar sekitar RM341,000 secara ansuran bagi pinjaman pengarah tersebut.
Sejak 2010, Barnes telah menerima enam petisyen muflis dan kali terakhir beliau terselamat daripada dimufliskan adalah pada tahun 2023. Syarikatnya, John Barnes Media Limited, dilikuidasi selepas gagal membayar lebih RM109,000 cukai, dua tahun selepas syarikat itu berhenti beroperasi pada Januari 2020.
Pada April tahun lalu, Barnes dikenakan larangan tiga setengah tahun daripada menjadi pengarah syarikat, sekali gus menghalangnya terlibat dalam pembentukan, pengurusan atau promosi mana-mana syarikat tanpa kebenaran mahkamah.
Siasatan Perkhidmatan Insolvensi UK mendapati bahawa antara November 2018 dan Oktober 2020, tiada bayaran cukai dibuat kepada HMRC. Sepanjang tempoh tersebut, syarikatnya memperoleh pendapatan kira-kira RM2.5 juta, namun gagal membayar RM448,000 cukai korporat dan RM655,000 VAT.
Barnes, yang kini menetap di Surrey, England, merupakan satu-satunya pengarah syarikat tersebut dan memposisikan perniagaannya sebagai penyedia perkhidmatan perwakilan media.



Comments