top of page

ASEAN 2045: Malaysia sebagai Pemangkin Masa Depan Ekonomi Serantau

  • E. Guan
  • Sep 29, 2025
  • 3 min read

Ketika kecil, antara filem paling ikonik tentang perjalanan masa ialah Back to the Future. Ingatan itu kembali segar ketika Malaysia selesai menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN ke-57 bersama negara Rakan Dialog.


Bayangkan tahun 2045: majoriti belia bekerja dalam industri berteknologi tinggi dan perkhidmatan bernilai tambah. ASEAN telah muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030, menjadi kuasa ekonomi disegani di pentas global.


Rantau ini menjadi lebih tangkas, inklusif, dan digital. Setiap lapisan masyarakat menikmati manfaat daripada ekonomi digital yang stabil, selamat dan lancar. Pendidikan, kesihatan, serta gaya hidup harian semakin bergantung pada aplikasi dan perkhidmatan dalam talian, manakala kecerdasan buatan (AI) membantu rakyat hidup lebih lama, sihat, dan produktif.


Sektor pertanian dipacu teknologi moden untuk menjamin keterjaminan makanan. Dengan gaya hidup sihat rakyat, perbelanjaan kesihatan lebih tertumpu kepada pendidikan dan pemerkasaan keusahawanan. Penggunaan kenderaan elektrik secara menyeluruh pula berjaya menghapuskan pencemaran, dengan semua negara ASEAN mencapai matlamat Sifar Bersih lebih awal daripada jadual.


PMKS berkembang pesat melalui ekosistem digital serantau, dengan sumbangan ekonomi digital mencecah AS$2 trilion pada 2030. Sekitar 70 juta perniagaan kecil dan sederhana diperkasa menerusi rangka kerja digital ASEAN yang moden dan saling terhubung. Perdagangan intra-ASEAN meningkat sehingga 80 peratus, mencerminkan kemakmuran bersama.


E-dagang, fintech dan perkhidmatan berasaskan AI berkembang dengan lancar, disokong sistem pembayaran serantau yang interoperabel dan tadbir urus data kukuh. Syarikat pemula serta industri kreatif yang diterajui belia semakin menyerlah dengan sokongan hab inovasi dan mobiliti bakat digital.


Industri lain, termasuk penerbangan, semakin hijau dengan prinsip pembuatan mampan dan tenaga boleh diperbaharui. Grid Tenaga ASEAN pintar yang ditenagai AI memastikan akses tenaga daripada hidro, solar, angin, dan reaktor nuklear kecil.

Kembali ke tahun 2025, semua ini tidak mustahil dicapai hasil daripada 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) Malaysia, yang meletakkan asas kepada Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang kalis masa depan.


Peranan Malaysia & ASEAN

Sebagai Pengerusi Tonggak Ekonomi ASEAN, Malaysia memikul tanggungjawab berat, khususnya ketika mempengerusikan AEM ke-57 di Kuala Lumpur. Dalam suasana global penuh ketidaktentuan akibat persaingan geopolitik, rantaian bekalan rapuh dan tekanan ekonomi, Malaysia perlu memimpin ASEAN ke arah kestabilan, daya tahan dan pertumbuhan.


Bagi rakyat, hasil ASEAN bukan teori kosong, ia nyata dalam bentuk pekerjaan, pelaburan, dan peluang. Antara PED utama tahun ini ialah peningkatan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang bakal mengurangkan kos pengeksport, Rangka Kerja Rantaian Bekalan Semikonduktor (AFISS) yang mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai hab global, serta Pasport Bateri EV yang mengukuhkan industri tenaga bersih.


Yang lebih menarik, AEM ke-57 menyaksikan penglibatan aktif kuasa besar seperti China, AS, India, EU, Jepun, Korea Selatan dan Australia, bukti kukuh nilai ASEAN sebagai rakan ekonomi yang dipercayai.


Malaysia sebagai “Penemu Jodoh”

Pada Oktober ini, Kuala Lumpur bakal menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN bersama pemimpin dunia seperti Donald Trump, Li Qiang dan Narendra Modi. Malaysia tampil bukan sekadar pemerhati, tetapi sebagai penghubung atau “penemu jodoh” antara kuasa besar.


Sidang Kemuncak RCEP pertama sejak 2020 dan dialog rasmi ASEAN–CPTPP juga akan berlangsung di Malaysia. Keunikan kedudukan Malaysia dalam kedua-dua blok memberi kelebihan besar dari aspek perdagangan digital, rantaian bekalan, dan kelestarian.


Di peringkat global, Malaysia terus mendesak reformasi WTO agar sistem perdagangan dunia lebih moden dan inklusif, sekaligus melindungi kepentingan pengeksport dari sektor halal, semikonduktor dan perkhidmatan profesional.


Kesimpulan

Kepimpinan Malaysia di ASEAN bukan soal prestij, tetapi usaha memastikan rantau ini kekal makmur dalam ketidaktentuan global, serta menjamin peluang generasi masa depan.


Di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia membuktikan bahawa pengaruh bukan terletak pada saiz negara, tetapi pada visi dan kredibiliti. Tahun 2025 adalah titik penting; Malaysia tampil sebagai pemangkin dan penghubung yang dihormati, dengan matlamat membina ASEAN yang lebih makmur, berdaya tahan, dan bermanfaat untuk setiap rakyat.



Comments


bottom of page