top of page

AS Batalkan 6,000 Visa Pelajar Dalam Tujuh Bulan

  • Adi Dit
  • Aug 19
  • 1 min read


WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mengesahkan sebanyak 6,000 visa pelajar telah dibatalkan sejak Setiausaha Negara, Marco Rubio, memegang jawatan tujuh bulan lalu.


Menurut seorang pegawai, sebahagian besar pembatalan dibuat kerana pelanggaran undang-undang termasuk kes serangan, memandu dalam keadaan mabuk, kecurian serta sokongan terhadap keganasan. Sekitar 4,000 kes daripadanya khusus melibatkan jenayah dan kesalahan undang-undang.


Walaupun begitu, agensi berkenaan tidak mendedahkan butiran kewarganegaraan pelajar terbabit. Tindakan ini dilihat seiring dengan pendekatan lebih keras pentadbiran AS dalam isu imigresen, termasuk penegasan Rubio untuk menyasarkan pelajar dari China.


Diplomat tertinggi itu sebelum ini turut menyatakan visa akan dibatalkan setiap hari, terutamanya bagi pelajar yang terlibat dengan protes anti-Israel. Namun, beberapa percubaan kerajaan AS untuk mengekalkan pembatalan berdepan cabaran di mahkamah, termasuk kes aktivis pro-Palestin Mahmoud Khalil di Columbia University serta pelajar Turkiye, Rumeysa Ozturk, di Tufts University.


Rubio menegaskan kerajaan AS mempunyai hak penuh untuk membatalkan visa tanpa campur tangan kehakiman, sambil menekankan bahawa bukan warganegara AS tidak menikmati hak kebebasan bersuara seperti yang dilindungi Perlembagaan.

Comments


bottom of page