top of page

Armada Bersatu Sertai Himpunan, Bantah Dasar Ekonomi Yang Didakwa Menekan Rakyat

  • TW
  • Jun 19
  • 1 min read

KUALA LUMPUR, 18 Jun 2025 – Armada Bersatu, sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), mengumumkan penyertaan mereka dalam himpunan “Turun Anwar” pada 26 Julai nanti sebagai tanda protes terhadap dasar ekonomi yang dianggap membebankan rakyat.


Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid, yang mengesahkan keputusan itu dalam satu mesyuarat baru-baru ini, berkata tindakan tersebut menunjukkan pendirian tegas Armada bahawa dasar ekonomi yang tidak berpaksikan ketelusan serta realiti kehidupan rakyat perlu ditolak.


Beliau turut memaklumkan bahawa Armada akan memperkukuh struktur organisasi dan melahirkan kepimpinan belia melalui sesi latihan bulanan. Bermula Julai, program jelajah dan sesi libat urus bersama rakyat di kawasan terpilih juga akan dilancarkan bagi mengeratkan hubungan akar umbi.


Harris menjelaskan bahawa isu-isu seperti pengembangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kenaikan tarif elektrik yang menjejaskan harga makanan serta subsidi bersasar untuk petrol RON95 memberikan tekanan besar kepada golongan B40 dan M40. Menurutnya, dasar seperti ini “wajar ditolak” jika tidak dibuat dengan telus dan sensitif terhadap keperluan rakyat.


Beliau menegaskan himpunan tersebut bukan sekadar simbol protes, tetapi juga peluang anak muda menyuarakan ketidakpuasan terhadap apa yang digelar kegagalan Kerajaan Madani dalam menangani kos hidup rakyat dan isu keadilan sosial.


Armada Bersatu turut menyeru penyertaan aktif daripada semua peringkat untuk menyampaikan mesej bahawa kerajaan tidak seharusnya terus membodohkan rakyat dengan retorik tanpa penyelesaian konkrit. 

Comments


bottom of page