top of page

AMK Pulau Pinang Kecam Cubaan Politikkan Kes Zara Qairina

  • Adi Dit
  • Aug 12
  • 1 min read

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menegaskan sebarang cubaan memanipulasi kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir, untuk meraih keuntungan politik adalah perbuatan tidak bermoral.


Dalam satu kenyataan, AMK Pulau Pinang menegaskan bahawa nyawa manusia tidak sepatutnya dijadikan modal politik, sebaliknya semua pihak wajar memberi ruang penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan secara telus, menyeluruh, dan adil.


“Malaysia adalah negara yang berlandaskan undang-undang. Tiada sesiapa akan dilindungi daripada tindakan undang-undang sekiranya terbukti bersalah, tanpa mengira pangkat, darjat, atau kedudukan,” kata kenyataan itu.


AMK Pulau Pinang turut menyokong pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang menggesa siasatan dilaksanakan secara telus dan berintegriti.


“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga Zara Qairina dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama orang beriman. AMK Pulau Pinang berdiri teguh bersama keluarga mangsa dan rakyat Malaysia yang menuntut keadilan,” tambah kenyataan itu.


Semalam, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menghantar pasukan khas ke Sabah untuk mengambil alih siasatan kes ini.


Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, sebelum meninggal dunia sehari kemudian. Pada Sabtu lalu, jenazahnya digali semula untuk bedah siasat kedua di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, yang mengambil masa lapan jam, sebelum dikebumikan semula pada malam hari yang sama di Tanah Perkuburan Tanjung Ubi, Mesapol, Sipitang.

Comments


bottom of page