top of page

Alicia Wong Lingling Catat Sejarah Sebagai Penyanyi K-pop Wanita Pertama Malaysia

  • Writer: Camelia K
    Camelia K
  • Jun 12, 2025
  • 1 min read

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Alicia Wong Lingling, 20, dari Klang, Selangor, mencipta sejarah apabila diumumkan sebagai ketua kumpulan dan vokalis utama kumpulan K-pop baharu, KIIRAS — menjadikannya idola K-pop wanita pertama dari Malaysia.


Lingling memulakan langkah sebagai pelatih di dua syarikat hiburan terkenal Korea Selatan, YG Entertainment dan WakeOne, sebelum menyertai program realiti I-LAND 2 pada 2024. Meskipun tidak berjaya ke pentas akhir, bakat dan ketekunannya menarik perhatian agensi LeanBranding yang akhirnya memilihnya sebagai ahli pertama KIIRAS.


Selain Lingling, kumpulan KIIRAS turut dianggotai oleh Kurumi, Harin, Kylie, Doyeon dan Roah.

Single sulung mereka, Kill Ma Bo$$, yang dilancarkan pada 29 Mei lalu, berjaya meraih lebih 6.4 juta tontonan di YouTube dalam tempoh kurang dua minggu. Lagu tersebut tampil dengan konsep muzik gabungan country, R&B dan hip-hop serta visual berinspirasikan “cowgirl” moden.


Alicia yang fasih dalam empat bahasa – Cina, Inggeris, Korea dan Bahasa Malaysia – kini dianggap wajah baharu idola generasi kelima K-pop yang bersifat global dan serba boleh. Persembahan sulungnya turut mendapat pujian atas kekuatan vokal dan karisma pentas.

Album mini pertama KIIRAS telah dilancarkan pada 9 Jun 2025, menampilkan pelbagai genre muzik yang menonjolkan kepelbagaian setiap ahli.


Dengan pencapaian ini, Alicia Wong Lingling membuka jalan baharu untuk anak muda Malaysia melebarkan sayap di pentas hiburan antarabangsa.

Comments


bottom of page