top of page

AIM24: Kesilapan Teknikal Hancurkan Harapan Ara Johari

  • Adi Dit
  • Aug 19, 2025
  • 1 min read


KUALA LUMPUR: Selepas hampir sepuluh tahun berjuang dalam dunia seni, penyanyi bersuara lantang Ara Johari menyimpan harapan tinggi untuk melihat namanya terukir di pentas berprestij, Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).


Namun, impian itu berkecai apabila lagu popularnya, Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL) — yang sudah meraih lebih 20 juta tontonan di YouTube — gagal menembusi senarai Top 5 hanya kerana kesilapan teknikal.


Lagu ciptaan komposer Indonesia, Ilham Baso, sepatutnya berpeluang besar bersaing dalam kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis atau Komposer Luar Negara Terbaik. Lebih mengecewakan, ini sepatutnya menjadi penyertaan sulung Ara dalam AIM sejak beliau memulakan kerjaya hampir sedekad lalu.


Menurut pengurusnya, Mohd Asrul Abdul Talib, mereka hanya mengetahui lagu itu tidak tersenarai selepas undian ditutup.“Memang Ara sangat kecewa bila lagu itu langsung tak dicalonkan hanya kerana kesilapan teknikal. Lagi terkilan sebab ini sepatutnya kali pertama Ara bertanding di AIM,” katanya.


Walaupun kecewa, Ara memilih untuk tidak menyalahkan sesiapa. Baginya, rezeki masih belum berpihak kepadanya.“Kami tak mahu tuding jari. Top 5 pun sudah diumumkan, jadi tak guna nak besarkan isu. Walaupun hati remuk, semangat Ara tidak akan patah,” tambah Asrul.


Senarai akhir kategori berkenaan menyaksikan Ernie Zakri (Masing-Masing), Datuk Seri Siti Nurhaliza (Sejarah), Meisks (Dursila), Aina Abdul feat Fabio Asher (Cinta Tak Pernah Tepat Waktu), serta Sekumpulan Orang Gila feat Boniex For Revenge (Naluri) mara ke peringkat akhir.


AIM24 dijadual berlangsung pada 13 September ini, menjanjikan sebuah malam penuh prestij yang meraikan karya terbaik industri muzik tanah air.

Comments


bottom of page