AGC Tolak Permohonan Najib Gugur Tiga Pertuduhan Pengubahan Wang Haram
- Camelia K
- Jun 11
- 1 min read
KUALA LUMPUR, 11 Jun – Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggugurkan tiga pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta.
Makluman itu disampaikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul, ketika kes berkenaan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, K. Muniandy hari ini.
“Saya diarahkan memaklumkan kepada mahkamah bahawa representasi telah ditolak dan pihak pendakwaan akan meneruskan perbicaraan. Justeru, kami memohon agar tarikh perbicaraan ditetapkan,” katanya.
Dalam prosiding sama, pihak pendakwaan turut memohon masa tambahan bagi melengkapkan penyediaan dokumen berkaitan serta penyataan saksi.
Terdahulu, pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima sejumlah RM27 juta hasil aktiviti haram menerusi tiga akaun miliknya di AmPrivate Banking dan AmIslamic Bank Berhad, di ibu negara pada 8 Julai 2014.







Comments