ADUN Kunak: ‘Langkah Kinabalu’ Adalah Pengkhianatan Terbesar kepada Rakyat Sabah
- Camelia K
- Aug 14
- 2 min read
KOTA KINABALU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif menyifatkan cubaan menjatuhkan pentadbiran Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menerusi gerakan politik dikenali sebagai ‘Langkah Kinabalu’ sebagai satu pengkhianatan besar terhadap rakyat negeri itu.
Dalam kenyataannya yang dilaporkan Free Malaysia Today, beliau menzahirkan kekecewaan atas kegagalan perpaduan politik yang telah dibina melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara pimpinan pusat diterjemahkan di peringkat negeri.
“Ketika MoU ditandatangani pada 16 Disember 2022, harapan kami adalah agar semua pemimpin utama negeri bersatu hati, mengenepikan kepentingan peribadi atau parti dan mendahulukan rakyat. Namun, apa yang berlaku sebaliknya,” kata Norazlinah.
MoU tersebut melibatkan pemimpin utama seperti Hajiji yang mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pihak Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Barisan Nasional) dan Tan Sri Abang Johari Tun Openg (Gabungan Parti Sarawak).
‘Langkah Kinabalu’ yang digerakkan awal Januari 2023 dan didalangi oleh Mohd Shafie serta Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, akhirnya gagal apabila enam ADUN Umno memilih untuk menyokong Hajiji dan mengekalkan pentadbiran sedia ada. Ekoran kegagalan tersebut, Bung Moktar digugurkan daripada jawatan Timbalan Ketua Menteri.
Menurut Norazlinah, gerakan menjatuhkan Hajiji itu hanya bertujuan memberi laluan kepada beberapa pemimpin dalam Warisan untuk meraih kedudukan Kabinet negeri.
“Warisan dijanjikan empat atau lima kerusi Kabinet jika rampasan kuasa itu berjaya. Saya bersyukur ianya gagal kerana kebanyakan ADUN BN dan PH tidak bersetuju dan memilih untuk terus menyokong kerajaan yang ada,” katanya.
Norazlinah turut mengimbau detik beliau keluar dari Warisan pada 6 Februari 2023 sebagai kemuncak kekecewaan terhadap hala tuju parti yang disertainya sejak 2016.
“Hajiji melayan semua ADUN secara adil, termasuk saya yang baru menyertai GRS. Tiada lagi pengalaman menunggu Ketua Menteri selama lapan jam hanya untuk bertemu,” katanya sambil memuji pendekatan Hajiji yang lebih fokus kepada penyelesaian isu rakyat tanpa retorik berlebihan.
Dalam pada itu, beliau turut mempertikaikan desas-desus kerjasama antara Warisan dan BN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, sedangkan Mohd Shafie pernah menegaskan bahawa Warisan akan bertanding secara solo di semua 73 kerusi.
“Dulu kami diajar untuk menumbangkan BN, kini mereka sanggup bekerjasama dengan pihak yang dahulunya dianggap musuh demi kuasa,” ujarnya tegas.
Kenyataan itu menambah lagi tekanan terhadap kepimpinan Warisan yang kini berdepan cabaran untuk meraih semula keyakinan akar umbi menjelang PRN Sabah yang bakal tiba.







Comments