top of page

10 ADUN Selangor Desak Pemecatan Wan Saiful dan 3 Pemimpin BERSATU

  • Adi Dit
  • Sep 30, 2025
  • 2 min read


KUALA LUMPUR, 30 Sept – Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor daripada BERSATU hari ini mendesak Lembaga Disiplin parti mengambil tindakan tegas dengan memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, bersama tiga lagi pemimpin parti.

Dalam kenyataan bersama, kumpulan ADUN itu menuduh Wan Saiful menjadi dalang utama di sebalik usaha terancang untuk menjatuhkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melalui gerakan akuan bersumpah (SD). Mereka mendakwa, selepas percubaan itu gagal, Wan Saiful kini cuba memutarbelitkan fakta dan menukar naratif.

“Penipuan tidak boleh ditutup dengan penipuan baharu. Demi menjaga disiplin, integriti dan maruah perjuangan, tindakan pemecatan mesti dilakukan segera,” tegas kenyataan itu.

Tiga Pemimpin Lain Turut Dikaitkan

Selain Wan Saiful, tiga lagi pemimpin yang dikaitkan dengan komplot tersebut ialah:

  • Datuk Suhaimi Ghazali – Ketua Bahagian BERSATU Sepang

  • Isa Saidi – Ketua Bahagian BERSATU Ampang

  • Muhd Fadhli Ismail – Ketua Bahagian BERSATU Ipoh Timur


Senarai ADUN Yang Mengeluarkan Kenyataan Bersama

Kenyataan keras itu ditandatangani oleh:

  • Mohd Rafiq Mohd Abdullah (Kuang)

  • Rosnizan Ahmad (Morib)

  • Wan Dzahanurin Ahmad (Sungai Kandis)

  • Dr Afif Bahardin (Taman Medan)

  • Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia)

  • Datuk Harrison Hassan (Jeram)

  • Datuk Seri Jamil Salleh (Dengkil)

  • Datuk Noorazley Yahya (Bukit Melawati)

  • Nurul Syazwani Noh (Permatang)

  • Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani (Batang Kali)


Fokus Pada Kes Mahkamah

Mereka menambah, perhatian Wan Saiful sepatutnya ditumpukan kepada kes mahkamah yang sedang dihadapinya.

“Beliau bukan sahaja sudah disiasat, malah kini sedang berdepan pertuduhan menggelapkan jutaan ringgit. Pendakwaan itu membuktikan pihak berkuasa mempunyai asas kukuh. Beliau wajar menjawab di mahkamah, bukannya menyerang orang lain dengan tuduhan tidak berasas,” menurut kenyataan itu lagi.

Fitnah Terhadap Azmin Ali Dikecam

Dalam masa sama, ADUN berkenaan turut mengecam fitnah berulang kali dilemparkan terhadap Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berhubung isu ketulenan klip video lama. Mereka menegaskan, kes tersebut sudah ditutup selepas siasatan mendalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih lapan bulan dan keputusan Peguam Negara pada 2020 mengesahkan tiada asas untuk pendakwaan.

Comments


bottom of page