top of page

Yuna Hilang Tawaran Persembahan & Ribuan Pengikut Selepas Lantang Sokong Palestin

  • A. Zahid
  • Sep 4, 2025
  • 1 min read

Penyanyi antarabangsa, Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Ma Zara’ai, mengakui kehidupannya berubah sekelip mata selepas lantang menyuarakan sokongan terhadap Palestin.


Keberanian Yuna berkongsi kandungan mengenai kekejaman di Gaza bukan sahaja mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, malah turut memberi kesan besar kepada kerjaya seninya. Beberapa tawaran persembahan luar negara terhenti, manakala ribuan pengikut meninggalkan akaun media sosialnya.


“Saya tahu ini sukar, tetapi saya bersama kamu (Palestin). Saya lihat ramai dengan jutaan pengikut dan platform besar memilih untuk berdiam diri, sedangkan kita sedang menyaksikan Gaza dimusnahkan di depan mata,” katanya.


Menurut Yuna, sejak mula memuat naik kandungan simbol solidariti Palestin seperti imej tembikai, dia kehilangan pekerjaan, ada tawaran persembahan yang ditarik balik, malah sebahagian lagi terpaksa ditolak. “Saya hilang kawan, tidak lagi menerima undangan persembahan di luar negara, dan kehilangan lebih 4,000 pengikut. Malah, ada peminat yang tidak dapat melihat hantaran saya,” ujarnya.


Meskipun berdepan tekanan dan rasa terasing, penyanyi lagu Cinta Sempurna itu tetap tabah. Katanya, perjalanan ini membuatkan dirinya belajar menerima hakikat bahawa ada hari yang terasa terlalu berat, tetapi masih ada ruang untuk harapan.


“Ada hari saya rasa sangat teruk, ada hari seolah-olah masih ada harapan. Kadang-kadang sukar apabila orang yang saya bekerjasama berpura-pura tiada apa berlaku, seolah-olah genosid itu bukan realiti,” luahnya.


Walaupun mengakui pernah menangis kerana keadaan itu, Yuna menegaskan semangatnya tidak pernah padam. “Setiap hari jiwa saya masih ada. Dengan jiwa yang kuat, saya tahu semuanya akan baik-baik saja,” katanya lagi.


Keberanian Yuna terus bersuara meskipun menanggung kerugian peribadi menjadi bukti keteguhan prinsipnya, sekali gus membuka mata banyak pihak tentang risiko yang dihadapi artis global apabila memilih berdiri bersama Palestin.

Comments


bottom of page