top of page

Yeoh Li Tian Raih Gelaran Grandmaster, Angkat Nama Malaysia di Persada Dunia

  • E. Guan
  • Aug 4, 2025
  • 2 min read

Buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, negara akhirnya berjaya melahirkan seorang Grandmaster (GM) dalam sukan catur, pencapaian tertinggi yang diiktiraf oleh Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE).


Yeoh Li Tian, 25 tahun dari Petaling Jaya, secara rasmi menerima gelaran berprestij itu selepas meraih norma ketiganya dan melepasi rating 2500 dalam ranking FIDE, hasil kejayaan menjuarai Kejohanan Jemputan Catur GM-IM 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.


Dengan pengiktirafan ini, Li Tian kini tersenarai dalam kelompok elit kurang daripada 2,000 Grandmaster di seluruh dunia, menjadikannya satu pencapaian yang diiktiraf seumur hidup dalam dunia catur.


Li Tian, yang mula bermain catur sejak usia tiga tahun, mengakui laluan ke tahap ini penuh cabaran dan memerlukan pengorbanan besar.“Saya selalu katakan yang saya tidak ada zaman kanak-kanak. Itu mungkin pengorbanan paling besar. Dari kecil, jadual saya hanyalah sekolah, kerja rumah, dan terus berlatih catur,” katanya.


Mengenai kejayaan meraih gelaran GM di tanah air sendiri, beliau menyifatkannya sebagai detik paling bermakna, lebih-lebih lagi selepas hampir mencapainya ketika Sukan SEA 2022 di Hanoi.“Saya rasa sangat lega dan bersyukur dapat melengkapkan norma terakhir di Malaysia. Saya harap ini akan menjadi inspirasi kepada lebih ramai pemain tempatan untuk terus giat bermain catur,” tambahnya.


Bagi perancangan masa depan, Li Tian belum memutuskan langkah seterusnya, namun memberi bayangan bakal menyertai Sukan SEA di Thailand hujung tahun ini.“Pihak Persekutuan Catur Malaysia (MCF) sudah pun menghubungi saya mengenai penyertaan itu. Saya rasa peluang untuk saya bermain memang tinggi,” ujarnya.


Dalam pada itu, Presiden MCF, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi menyifatkan kejayaan Li Tian sebagai detik penting dalam sejarah catur negara.Menurutnya, kejayaan ini memberi semangat baharu kepada MCF untuk melahirkan lebih ramai Grandmaster tempatan dan memperkukuh ekosistem catur di Malaysia.


“Pencapaian ini adalah petanda positif bagi perkembangan sukan catur negara. Kita tidak mahu ia berakhir di sini sahaja, malah berhasrat melahirkan lebih ramai GM Malaysia seperti yang telah dicapai oleh negara jiran seperti Indonesia, Vietnam dan Filipina,” katanya.

Comments


bottom of page