Victor Andrag Mahu Kedah Tampil Fokus dan Bermutu Hadapi Perlis GSA
- A. Zahid
- Jul 31, 2025
- 1 min read
Ketua Jurulatih Kedah FA, Victor Andrag, mengingatkan pasukannya agar tidak leka dan sentiasa menunjukkan semangat juang sebenar apabila berdepan Perlis GSA FC dalam aksi tumpuan Derbi Utara Liga A1 Semi Pro yang akan berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Sabtu ini.
Walaupun Kedah FA diperkuatkan dengan kehadiran tiga pemain import baharu — Yakubu Abubakar, Adam Azeez dan Pape Diakite — Victor menegaskan bahawa Perlis GSA FC tetap lawan yang perlu dihormati. Beliau menekankan bahawa ketiadaan pemain import bukan penentu kekuatan sesebuah pasukan. Sebaliknya, karakter dan kesungguhan dalam permainan adalah elemen penting yang perlu ditampilkan oleh skuadnya.
Tambahnya lagi, Kedah FA masih dalam proses mencari keserasian dan membentuk kombinasi terbaik, berbanding Perlis GSA FC yang sudah lama terbina dan menjuarai Liga A2 musim lalu. Oleh itu, beliau mengingatkan anak buahnya agar tidak terlalu yakin dan mengambil mudah perlawanan ini.
Tiga mata kekal menjadi sasaran utama Kedah FA. Justeru, Victor menyeru para pemain agar tampil lebih fokus, berdisiplin dan tidak mudah tertekan kerana kemenangan dalam perlawanan pembukaan ini sangat penting untuk membina momentum dan menaikkan keyakinan bagi menghadapi musim yang panjang.
Beliau turut menyifatkan pertemuan semula antara dua pasukan utara ini sebagai cukup istimewa selepas lama tidak bertemu dalam kancah liga. Dengan jangkaan kehadiran penyokong yang ramai di Kangar, Victor berharap para pemain mampu mengawal emosi dan menampilkan persembahan berkualiti dalam suasana yang dijangka hangat dengan semangat Derbi Utara.

Comments