“UMNO Kini Hanya Pelengkap PH” – Khir Toyo Umum Sertai Bersatu
- A. Zahid
- Aug 7
- 1 min read
Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo secara rasmi mengumumkan penyertaannya ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dengan menyifatkan UMNO kini tidak lebih daripada sekadar parti pelengkap atau ‘supplement’ kepada Pakatan Harapan (PH).
Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu, keputusannya untuk menyertai Bersatu dibuat kerana beliau lebih yakin terhadap keikhlasan dan komitmen kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memperjuangkan nasib bangsa Melayu.
“Bersatu kini jelas menggantikan kedudukan UMNO. Jumlah kerusi Parlimen Bersatu jauh melebihi UMNO. UMNO pula dilihat hanya menjadi parti sampingan dalam PH,” katanya.
Beliau turut meramalkan bahawa dalam Pilihan Raya Umum akan datang, UMNO tidak akan bertanding lebih banyak kerusi berbanding PKR, sekaligus menyukarkan peluang UMNO untuk menjadi parti dominan.
“Bagaimana UMNO mahu dominan jika bertanding kerusi lebih sedikit? Jika terus berlindung di bawah PH, UMNO akan kekal sebagai parti pelengkap sahaja,” tegasnya.
Mohamad Khir menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang cita-cita politik besar, namun enggan berjuang dalam parti yang menurutnya tidak lagi menjadi kuasa utama.
“Saya berterima kasih atas peluang yang pernah diberikan UMNO dan juga kepada Tun Dr Mahathir yang memilih saya menjadi Menteri Besar. Tetapi kini, izinkan saya menyumbang tenaga kepada Bersatu demi memastikan negara dipimpin oleh orang Melayu yang adil dan berwibawa, seperti mana yang UMNO pernah lahirkan dahulu,” tambahnya.





Comments