top of page

Perjanjian Tarif AS Tidak Jejas Dana Awam, Tegas Tengku Zafrul

  • A. Zahid
  • Aug 7
  • 1 min read

Kerajaan memberi jaminan bahawa konsesi yang ditawarkan kepada Amerika Syarikat demi mencapai kadar tarif 19 peratus tidak melibatkan penggunaan dana awam, tidak menambah beban fiskal, dan tidak menyumbang kepada peningkatan hutang negara.


Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, rundingan tersebut dijalankan dengan kelulusan Jemaah Menteri dan berpaksikan strategi kerjasama awam-swasta, tanpa menjejaskan dasar utama negara.


Beliau menjelaskan bahawa komitmen pelaburan yang dibuat hanya melibatkan syarikat multinasional dalam sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, aeroangkasa dan pusat data, dengan nilai pelaburan keseluruhan mencecah AS$150 bilion.


“Jumlah ini perlu dilihat dalam konteks jangka panjang — ia bersifat berperingkat dan dilaksanakan dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun. Ia adalah pelaburan komersial oleh syarikat dan GLC, bukannya satu perbelanjaan kerajaan,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat, Khamis.


Mengambil contoh pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) bernilai AS$19 bilion, beliau menjelaskan bahawa komitmen itu dibuat secara berperingkat hingga 2035 dan mewakili hanya 13.5 peratus daripada jumlah perbelanjaan sektor swasta negara pada tahun 2024.


Dalam rundingan tarif tersebut, Malaysia turut menawarkan pengurangan atau penghapusan duti ke atas 98.4 peratus produk dari Amerika Syarikat, dengan 60.4 peratus daripadanya diberikan kadar sifar cukai. Selebihnya dikenakan duti rendah, maksimum sehingga 15 peratus.


Selain itu, kerajaan juga mempermudah halangan bukan tarif seperti pensijilan halal oleh JAKIM, fasilitasi kemasukan produk daging dan tenusu AS serta penambahbaikan dalam pematuhan aspek buruh, alam sekitar dan harta intelek.

Comments


bottom of page