top of page

Tiara Jacquelina Diiktiraf di WITEX 2025 Atas Sumbangan Dalam Pelancongan dan Budaya

  • Writer: Camelia K
    Camelia K
  • Sep 3
  • 1 min read

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Tokoh seni dan usahawan kreatif tersohor negara, Puan Sri Tiara Jacquelina menerima anugerah berprestij di World Islamic Tourism & Trade Expo (WITEX) 2025, sebagai penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam memperkasa industri kreatif, pelancongan dan budaya negara.


Anugerah tersebut mengiktiraf kejayaan Tiara menerusi projek perintis seperti Tiarasa Escapes dan Dream Forest Langkawi – dua destinasi pelancongan berkonsepkan eko-luxury yang menggabungkan elemen penceritaan, kelestarian alam dan warisan budaya tempatan.


“Bagi saya, ini bukan sekadar anugerah. Ia adalah pengiktirafan terhadap kekuatan kreativiti, budaya dan kelestarian yang jika disatukan, mampu mencipta pengalaman bermakna untuk masyarakat,” kata Tiara, yang juga Pengasas Enfiniti Group.


Tambah beliau, kejayaan ini juga merupakan hasil usaha kolektif pasukan Enfiniti, keluarga, serta rakan-rakan industri yang mempercayai visinya selama ini.


Penerima Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Asia Pasifik ke-50 itu turut menyifatkan penganjuran acara seperti WITEX sebagai medan penting untuk merapatkan hubungan antara budaya, sektor dan komuniti di peringkat global.


Melangkaui dunia seni persembahan, Tiara terus mengorak langkah dalam membina ekosistem pelancongan berteraskan budaya dan pengalaman imersif, sebagaimana yang dizahirkan melalui produksi seperti Puteri Gunung Ledang The Musical dan OlaBola The Musical.


Kejayaan beliau di WITEX bukan sahaja memperkukuh jenama peribadinya sebagai penggerak budaya, malah menyerlahkan peranan Malaysia sebagai peneraju dalam industri pelancongan kreatif dan mampan di rantau ini.


“Seni dan budaya sentiasa menjadi nadi dalam hidup saya. Selagi ada ruang untuk berkarya, saya akan terus memperjuangkannya,” ujar Tiara penuh semangat.

Comments


bottom of page