top of page

Son Heung-min Sertai LAFC, Tamatkan Era 10 Tahun Bersama Spurs

  • A. Zahid
  • Aug 7, 2025
  • 1 min read

Penyerang kebangsaan Korea Selatan, Son Heung-min kini sah bergelar pemain baharu Los Angeles FC (LAFC) selepas mengakhiri tempoh sedekad bersama Tottenham Hotspur dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).


Perpindahan pemain berusia 33 tahun itu diumumkan secara rasmi oleh kedua-dua kelab semalam. Menurut laporan The Athletic, nilai perpindahan dianggarkan sekitar AS$26.5 juta (RM124.2 juta), sekaligus menjadikannya perpindahan termahal dalam sejarah Major League Soccer (MLS).


Son menyertai Tottenham dari Bayer Leverkusen pada tahun 2015 dan mencatat pelbagai pencapaian cemerlang, termasuk membantu Spurs merangkul trofi Liga Europa musim lalu – kejuaraan pertama kelab itu dalam tempoh 17 tahun – selepas menewaskan Manchester United 1-0 di pentas final.


Dalam satu video perpisahan yang penuh emosi, Son mengucapkan terima kasih kepada penyokong Spurs:


“Ketika tiba di London Utara, anda semua menyambut saya seperti keluarga. Saya tak pernah bayang akan jadi kapten pasukan, tapi saya impikan untuk menang sesuatu untuk anda. Trofi Liga Europa itu milik kita semua. Terima kasih untuk segalanya.”


Sepanjang kariernya bersama Spurs, Son membuat 454 penampilan dan menjaringkan 173 gol. Beliau turut dinobatkan sebagai pemenang Kasut Emas EPL musim 2021-22. Di pentas antarabangsa, Son telah mengumpul 134 penampilan bersama skuad Korea Selatan.

Perlawanan persahabatan menentang Newcastle United di Seoul minggu lalu menjadi detik rasmi perpisahannya bersama peminat.


Pengerusi Tottenham, Daniel Levy, turut memberikan penghormatan:


“Sonny telah menyumbang luar biasa, dalam dan luar padang. Dia akan sentiasa dialu-alukan sebagai sebahagian daripada keluarga Spurs.”

Comments


bottom of page