Siti Nurhaliza Umum Konsert Legacy 30 di Stadium Nasional Januari 2026
- Camelia K
- Oct 1
- 2 min read
KUALA LUMPUR, 30 Sept — Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal meraikan tiga dekad penglibatannya dalam industri muzik dengan penganjuran Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza, yang dijadual berlangsung pada 10 Januari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Menerusi satu kenyataan di media sosial, Siti menyifatkan konsert tersebut bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi lambang perjalanan panjang yang dilalui sejak mula bergelar anak seni.
“Legacy 30 melambangkan pengorbanan, detik suka duka, dan kejayaan selama 30 tahun. Saya mahu peminat yang sentiasa menyokong berada bersama saya dalam momen istimewa ini, dan mengimbas semula karya-karya yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan itu,” tulisnya.
Konsert anjuran SN Legacy Sdn Bhd itu bakal menjadi kemuncak sambutan tiga dekad karier seni penyanyi nombor satu negara, yang bukan sahaja menabur bakti dalam bidang hiburan, malah mengangkat muzik tempatan ke pentas antarabangsa.
Dengan kapasiti sehingga 60,000 penonton, pemilihan Stadium Nasional Bukit Jalil dilihat tepat bagi menghimpunkan peminat dari seluruh negara dan serantau. Menurut pihak penganjur, penganjuran kali ini lebih menitikberatkan aspek keselesaan dan pengalaman penonton, berbanding mengejar rekod kehadiran seperti pada Konsert Fantasia Tour 2004 yang mencatat lebih 70,000 pengunjung.
“Konsert ini bukan hanya satu persembahan, ia juga selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026. Ia diharap dapat menarik kehadiran peminat antarabangsa ke Malaysia, sekaligus menyokong usaha menjadikan negara ini destinasi pelancongan seni dan hiburan bertaraf dunia,” menurut kenyataan penganjur.
Sebagai penghargaan kepada peminat setia, pra-jualan tiket eksklusif untuk pemegang Kad Debit dan Kad Kredit AFFIN telah dibuka bermula Rabu, jam 12 tengah hari dan akan berlangsung sehingga Jumaat pada waktu yang sama. Jualan umum pula akan bermula 3 Oktober 2025, jam 3 petang di laman web rasmi www.ticket2u.com.
Tiket ditawarkan dalam pelbagai kategori tempat duduk, bermula serendah RM69 hingga RM1,599.
Konsert Legacy 30 dijangka menjadi detik bersejarah dalam karier Siti Nurhaliza, serta manifestasi penghargaan beliau terhadap para peminat yang menjadi tunjang kekuatan sepanjang tiga dekad penglibatannya dalam dunia seni.







Comments