Selangor Tundukkan MUFT 3-1, Tempah Slot ke Suku Akhir Piala FA
- E. Guan
- Aug 18, 2025
- 1 min read
Selangor FC mara selangkah ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Malaysian University Football Team (MUFT) 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam.Gergasi Merah hanya memerlukan empat minit untuk membuka tirai jaringan menerusi Muhammad Faisal Abdul Halim yang menyempurnakan hantaran Muhammad Aliff Izwan Yusof. Pemain import, Alvin Fortes, menggandakan kedudukan pada minit ke-24 sebelum Faisal sekali lagi meledak untuk memastikan Selangor selesa mendahului 3-0 pada babak pertama.
Pada separuh masa kedua, skuad kendalian Katsuhito Kinoshita terus mendominasi permainan namun gagal menambah jaringan berikutan disiplin pertahanan MUFT. Pasukan pelawat berjaya memperoleh gol sagu hati pada minit ke-82 menerusi Aiman Danial yang menewaskan Khairulazhan Khalid, sekali gus menafikan kemenangan bersih Selangor.
Di Johor pula, Johor Darul Ta’zim (JDT) membuka kempen dengan penuh bergaya apabila membelasah UM-Damansara United 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim. Babak pertama agak hambar sebelum pelawat beraksi dengan 10 pemain susulan layangan kad merah kepada kapten mereka, Hariz Mansor, pada minit ke-38.JDT memanfaatkan peluang itu apabila Jonathan Silva menanduk masuk hantaran Shahrul Saad pada minit ke-45. Bersambung babak kedua, Silva sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-54, diikuti jaringan Alberto Martin (79’), sepakan penalti Joao Figueiredo (90’) dan Celso Bermedo (90+1’) untuk melengkapkan kemenangan besar tuan rumah.
Sementara itu di Bandar Seri Begawan, pendatang baharu DPMM FC turut mencatat kemenangan selepas menewaskan Kuching City FC 3-2. Gol kemenangan tuan rumah hadir menerusi Azwan Ali Rahman (6’), Miguel Oliveira (48’) dan Jordan Murray (79’), manakala Kuching City merapatkan kedudukan melalui Ronald Ngah (43’) serta James Okwuosa (47’).



Comments