top of page

RUU Perolehan Kerajaan 2025: Perkukuh Semak Imbang, Bukan Tambah Kuasa Menteri Kewangan

  • A. Zahid
  • Aug 28
  • 2 min read

Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 tidak akan memperluas kuasa Menteri Kewangan seperti yang didakwa, sebaliknya digubal untuk mewujudkan sistem semak dan imbang yang lebih kukuh dalam pengurusan perolehan kerajaan.


Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, kuasa Menteri Kewangan dalam hal perolehan sebenarnya telah pun termaktub di bawah Seksyen 6(1) Akta Tatacara Kewangan 1957. Akta tersebut memberikan kuasa menyeluruh terhadap dasar, kelulusan serta pengecualian perolehan kerajaan.


“RUU ini hanya memperincikan kewajipan dan kuasa Menteri Kewangan secara jelas di peringkat perundangan. Bezanya sekarang, keputusan Menteri boleh dicabar dan dikaji semula melalui Panel Kajian Semula serta dibawa ke Tribunal Rayuan Perolehan yang bebas,” katanya ketika menggulung perbahasan bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, yang turut melibatkan 21 Ahli Parlimen.


Amir Hamzah menegaskan, RUU ini memperkenalkan tindakan punitif terhadap sebarang pelanggaran, termasuk terhadap Menteri Kewangan sendiri sekiranya terbukti gagal menzahirkan kepentingan awam atau melakukan campur tangan yang tidak wajar.


Beliau menjelaskan, Fasal 28(2) memberi peruntukan kepada Menteri Kewangan untuk menetapkan kaedah selain perolehan terbuka, namun sebarang peraturan mesti disertakan kriteria, kelayakan, syarat serta sekatan yang jelas. Sekiranya berlaku ketidakpatuhan, keputusan tersebut boleh dicabar di peringkat panel atau tribunal.


Tambahnya, RUU ini tidak berdiri sendiri, sebaliknya akan dilengkapkan dengan arahan dan pekeliling perolehan yang memperincikan dasar sedia ada, berlandaskan prinsip utama termasuk agenda pembangunan Bumiputera. “Inti pati penggubalan RUU adalah memperkukuh keberkesanan tadbir urus melalui prinsip undang-undang,” katanya.


RUU ini juga menetapkan prosedur yang seragam dalam urusan perolehan kerajaan, sekali gus mengurangkan risiko tafsiran berbeza, ketidakpatuhan atau salah guna kuasa.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini menyifatkan pembentangan RUU ini sebagai satu lagi reformasi besar Kerajaan MADANI, yang tidak pernah berani dilaksanakan pentadbiran terdahulu. Beliau menegaskan, ia melengkapkan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA) serta Akta Tatacara Kewangan 1957, dengan matlamat membanteras ketirisan, mengoptimum sumber negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Comments


bottom of page