top of page

Penyahsenaraian FGV Dari Bursa Malaysia, Felda Sasar Fasa Baharu Tingkat Pulangan Peneroka

  • A. Zahid
  • Aug 28
  • 1 min read

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengesahkan bahawa FGV Holdings Bhd (FGV) telah rasmi dinyahsenarai daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd bermula jam 9 pagi, Khamis.


Menurut kenyataan rasmi Felda, langkah itu dibuat susulan penggantungan dagangan saham FGV pada 25 Ogos lalu. Setakat ini, Felda bersama pihak yang bertindak bagi mencapai matlamat sama atau persons acting in concert (PACs) telah berjaya menguasai 95.29 peratus daripada keseluruhan saham syarikat berkenaan.


Bagaimanapun, Felda menjelaskan bahawa pemegang saham yang menolak tawaran pengambilalihan sukarela tanpa syarat (Dissenting Holders) masih mempunyai hak untuk menjual pegangan mereka sehingga 15 Januari 2026, sebelum jam 5 petang, seperti yang termaktub dalam notis kepada pemegang saham bertarikh 22 Ogos.


Felda menyifatkan penyahsenaraian ini sebagai permulaan fasa baharu untuk memperkukuh struktur korporat, memperkemas operasi ladang dan meningkatkan nilai ekonomi kepada semua pemegang taruh, khususnya peneroka. Dengan tidak lagi terikat kepada keperluan penyenaraian awam, Felda kini dapat mengawal penuh keseluruhan rantaian nilai industri sawit – daripada hasil ladang sehinggalah ke kos operasi.


“Langkah ini akan memberi ruang kepada Felda untuk meningkatkan produktiviti, mengoptimumkan kos operasi serta memaksimumkan pulangan secara berterusan,” jelas kenyataan itu.


Felda turut menegaskan bahawa penyusunan semula ekosistem Kumpulan Felda secara menyeluruh akan meletakkan organisasi tersebut pada kedudukan lebih kukuh, bukan sahaja untuk menjana pertumbuhan mampan tetapi juga mempertingkat daya saing di pasaran global.


Lebih penting, perubahan ini diyakini mampu memastikan kesejahteraan komuniti peneroka terus terbela untuk jangka panjang.


Dengan penyahsenaraian FGV, Felda kini melangkah ke era baharu sebagai peneraju utama industri sawit negara dengan matlamat meningkatkan pulangan ekonomi kepada peneroka, sambil memperkukuh kedudukan Malaysia dalam pasaran minyak sawit dunia.

Comments


bottom of page