RUU Pekerja Gig Diluluskan Dewan Negara, Malaysia Kini Rujukan Serantau – KESUMA
- Camelia K
- Sep 10
- 2 min read
KUALA LUMPUR, 10 Sept – Malaysia kini melakar sejarah sebagai negara pertama di rantau ini yang memperkenalkan kerangka perundangan komprehensif untuk melindungi pekerja ekonomi gig, selepas Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 semalam.
Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan memaklumkan bahawa kelulusan ini bukan sahaja menandakan era baharu bagi lebih 1.2 juta pekerja gig di seluruh negara, malah turut menjadikan Malaysia sebagai rujukan kepada negara ASEAN dan antarabangsa dalam usaha memperkukuh perlindungan sosial sektor berkenaan.
RUU yang digubal dengan mandat daripada Perdana Menteri pada Mac tahun lalu, memperkenalkan pelbagai mekanisme perlindungan yang merangkumi kebajikan, keselamatan sosial dan hak pekerja, termasuk penetapan syarat kerja serta penyelesaian pertikaian antara platform dan penyedia perkhidmatan.
Menurut Kementerian, proses penggubalan RUU ini melibatkan lebih 40 sesi libat urus merentasi pelbagai lapisan masyarakat dan sektor industri. Lebih 4,000 pihak berkepentingan memberi pandangan termasuk syarikat platform, kerajaan negeri, wakil pekerja gig, akademik serta organisasi masyarakat sivil. Sebanyak 500 maklum balas turut diterima secara dalam talian.
RUU ini telah diperhalusi berdasarkan penanda aras global dan turut dipersembahkan kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva, yang mengesahkan kesesuaiannya dengan piawaian antarabangsa.
Ia mengandungi 112 fasal merentasi 10 bahagian utama dengan empat tumpuan utama – definisi pekerja gig, penubuhan majlis tiga hala untuk menetapkan pendapatan dan syarat kerja, mekanisme penyelesaian pertikaian, serta perlindungan keselamatan sosial.
Kementerian menyatakan bahawa tumpuan seterusnya ialah kepada proses pewartaan dan penguatkuasaan akta ini, agar manfaatnya dapat dinikmati segera oleh semua pihak yang terlibat.
RUU Pekerja Gig turut mendapat sokongan padu di Dewan Negara, apabila 18 senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan sebelum ia diluluskan dengan majoriti suara.
Langkah ini dilihat sebagai titik permulaan kepada perubahan struktur dalam sektor ekonomi gig di Malaysia, yang menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi digital dan keusahawanan moden negara.







Comments