Ronaldo Cipta Rekod Dunia: 100 Gol Bersama 4 Kelab Berbeza
- E. Guan
- Aug 25, 2025
- 1 min read
Cristiano Ronaldo mencipta sejarah sebagai pemain bola sepak pertama dunia yang berjaya menjaringkan 100 gol kompetitif bersama empat kelab berbeza selepas meledak gol dalam aksi final Piala Super Saudi menentang Al Ahli pada Sabtu lalu.
Namun, pasukannya Al Nassr tetap kecewa apabila tewas 3-5 melalui penentuan sepakan penalti selepas perlawanan di Stadium Hong Kong berkesudahan seri 2-2 dalam masa sebenar. Gol pada separuh masa pertama itu menandakan jaringan ke-100 Ronaldo bersama Al Nassr sejak menyertai kelab tersebut pada Disember 2022.
Rekod tersebut melengkapkan koleksi 450 golnya bersama Real Madrid, 145 gol di Manchester United, serta 101 gol ketika bersama Juventus. Pencapaian ini meletakkan Ronaldo mengatasi tiga legenda terdahulu yang hanya mencapai 100 gol dengan tiga kelab: Isidro Lángara (Sepanyol, 1930–1948), serta bintang Brazil, Romário dan Neymar.
Selain itu, Ronaldo yang masih mencari kejuaraan utama di Arab Saudi, terus mengekalkan statusnya sebagai penjaring terbanyak antarabangsa dengan 138 gol untuk Portugal.
Dalam perlawanan tersebut, Ronaldo membuka tirai jaringan menerusi penalti pada minit ke-41 sebelum Franck Kessié menyamakan kedudukan buat Al Ahli. Marcelo Brozovic kemudian mengembalikan kelebihan Al Nassr tujuh minit sebelum tamat, tetapi tandukan Ibañez di hujung perlawanan memaksa aksi ke sepakan penalti.
Ronaldo sekali lagi berjaya menyempurnakan sepakan, namun kegagalan rakan sepasukannya Abdullah Al-Khaibari memberi ruang kepada Al Ahli menutup perlawanan dengan kemenangan 5-3 sekaligus meraih trofi pertama musim ini.



Comments