top of page

RM64.9 Juta Zakat Korporat & Individu Disalur ke LZS, Lebih 350,000 Asnaf Diuntungkan

  • A. Zahid
  • Sep 4
  • 2 min read

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan dan pendapatan berjumlah RM64.9 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam satu majlis di Istana Alam Shah, pada Selasa. Sumbangan besar ini melibatkan 13 syarikat korporat serta seorang individu, sekali gus mengukuhkan dana bagi program kebajikan dan pembangunan sosioekonomi asnaf di negeri Selangor.


Lembaga Tabung Haji (TH) mendahului senarai sebagai penyumbang korporat terbesar, dengan zakat perniagaan sebanyak RM28.01 juta. Serahan itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.


Turut menunaikan zakat, Cyberview Sdn Bhd sebanyak RM5.43 juta melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarul Ariffin; manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyerahkan RM4.57 juta melalui Ketua Pegawai Solusi Perniagaan Global, Datuk Ir Azmi Md Yusof.


Syarikat lain yang terlibat termasuk Kumpulan Gas Malaysia Berhad (RM3.50 juta) diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Hashimi Abdul Manap; Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (RM3.42 juta) diwakili Pengerusi, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak; Kumpulan Proton (RM3.19 juta); Kumpulan DRB-HICOM (RM2.45 juta); PLUS Berhad (RM2.60 juta); Northport (Malaysia) Berhad (RM1.64 juta); Maybank Islamic Berhad (RM1.60 juta); Kumpulan Etiqa Takaful (RM1.50 juta); serta Kumpulan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Edgenta Infrastructure Services Sdn Bhd, masing-masing RM1 juta.


Individu korporat, Datuk Kamarudin Meranun, turut menunaikan zakat pendapatan berjumlah RM5.07 juta. Majlis disaksikan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin; Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail; Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Ambrin Buang; dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari.


Menurut Mohd Khaidzir, kutipan ini memberi manfaat langsung kepada lebih 350,000 penerima zakat di Selangor melalui pelbagai inisiatif bantuan dan pemerkasaan ekonomi.


Beliau merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang yang terus memilih LZS sebagai saluran utama pembayaran zakat, sambil menegaskan dana tersebut akan dimanfaatkan untuk memperkukuh agenda pembangunan asnaf dan menyokong kesejahteraan masyarakat negeri.

Comments


bottom of page