top of page

Elaun Perumahan Ahli DPR Dibatalkan, Lawatan Luar Negara Dihentikan

  • A. Zahid
  • Sep 4
  • 1 min read

Timbalan Yang Dipertua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Republik Indonesia, Sufmi Dasco Ahmad mengumumkan pembatalan elaun perumahan sebanyak 50 juta rupiah (kira-kira RM13,000) untuk setiap ahli DPR, berkuat kuasa 31 Ogos 2025.


Keputusan itu dibuat selepas gelombang protes rakyat yang merebak ke seluruh negara, malah mengakibatkan huru-hara hingga meragut nyawa. Menurut Dasco, langkah tersebut diputuskan hasil koordinasi bersama pimpinan DPR dalam usaha meredakan ketegangan dan mengembalikan keyakinan rakyat.


“Elaun perumahan dihentikan sepenuhnya berkuat kuasa serta-merta, selaras dengan penilaian menyeluruh terhadap semua bentuk elaun ahli DPR,” katanya ketika menerima kunjungan mahasiswa di Kompleks Parlimen, Senayan, Jakarta pada Rabu.


Selain itu, ahli DPR turut dikenakan moratorium lawatan kerja ke luar negara buat sementara waktu. Dasco menjelaskan, langkah ini selari dengan arahan Presiden Prabowo Subianto yang mahu mengekang lawatan tidak perlu dan memastikan penjimatan dalam setiap perjalanan rasmi.


DPR turut menyampaikan takziah kepada keluarga Affan Kurniawan serta mangsa lain yang terkorban dalam insiden demonstrasi baru-baru ini. Affan dilaporkan maut selepas dilanggar kenderaan perisai Polda Metro Jaya ketika protes di Pejompongan, Jakarta, minggu lalu.


“Sebagai pimpinan DPR, kami memohon maaf atas kelemahan kami dalam mewakili aspirasi rakyat. Reformasi DPR kini akan diterajui secara langsung oleh Ketua DPR, Puan Maharani, dengan matlamat menjadikan institusi ini lebih telus, efisien, dan bertanggungjawab,” ujar Dasco.


Pengumuman ini dilihat sebagai langkah permulaan dalam usaha membaik pulih imej DPR yang tercalar akibat pelbagai kontroversi, termasuk tuntutan elaun mewah dan lawatan kerja yang dipersoalkan rakyat.


Walau bagaimanapun, pemerhati politik menilai bahawa cabaran sebenar terletak pada pelaksanaan reformasi berterusan yang mampu membuktikan komitmen wakil rakyat terhadap suara rakyat yang diwakili.

Comments


bottom of page