Rebecca Nur Al-Islam Selesai Iddah, Kini Berangkat Tunai Umrah
- A. Zahid
- Sep 4, 2025
- 1 min read
Pelakon terkenal, Datin Rebecca Nur Al-Islam, berkongsi bahawa dirinya kini dalam perjalanan ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah selepas selesai menamatkan tempoh iddah.
Menerusi hantaran di Instagram Stories, Rebecca memohon doa daripada orang ramai agar segala urusannya dipermudahkan Allah SWT. “Assalamualaikum semua. Doakan saya, saya dalam penerbangan menuju ke Rumah Nabi Muhammad SAW. Doakan saya selamat dan segala urusan dipermudahkan Allah SWT,” tulisnya.
Dalam perkongsian sama, Rebecca turut memohon maaf kerana tidak berkesempatan membalas mesej dan pertanyaan daripada orang ramai yang prihatin terhadap dirinya. “Saya minta maaf kepada lebih 1,000 mesej WhatsApp dan ramai juga yang DM saya, tetapi tidak sempat saya balas satu persatu. Terima kasih kerana mengambil berat tentang saya, insya-Allah saya okay. Teruskan doa untuk saya,” ujarnya.
Menjawab persoalan mengenai status dirinya, aktres itu menegaskan bahawa tempoh iddah sudah pun berakhir. “Cuma apa yang boleh saya cakap, ya, saya sudah selesai iddah. Teruskan doa untuk saya. Semoga Allah SWT membalas segala kebaikan doa yang anda kirimkan,” katanya lagi.
Sebelum ini, pada Khamis lalu, Rebecca memuat naik foto bersama bekas suaminya, Datuk Nor Azam Sulaiman, sambil mengucapkan terima kasih atas 18 tahun kenangan bersama. Beliau mengakui bahawa mereka telah berusaha sebaik mungkin mempertahankan rumah tangga, namun akhirnya reda dengan ketentuan Ilahi.
Untuk rekod, Rebecca dan Datuk Nor Azam mendirikan rumah tangga pada 14 Januari 2011. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan tujuh orang cahaya mata.
Perkongsian Rebecca mengenai perjalanan umrahnya ini mendapat perhatian ramai peminat yang terus menitipkan doa dan kata semangat buat beliau agar terus tabah melalui fasa baharu dalam hidupnya.

Comments