top of page

Permintaan Gaji Ditolak, Masa Depan Onana di United Kian Samar

  • A. Zahid
  • Sep 4, 2025
  • 1 min read

Penjaga gol Manchester United, Andre Onana, dilaporkan berdepan jalan buntu dalam usaha mendapatkan kontrak baharu dengan gaji lebih tinggi selepas permintaannya ditolak pengurus, Ruben Amorim.


Menurut laporan The Athletic, ejen Onana telah mengadakan rundingan dengan pihak pengurusan kelab pada musim panas lalu bagi membincangkan syarat kontrak baharu. Namun, cadangan tersebut ditolak kerana United ketika ini sedang berdepan kekangan kewangan.


Situasi menjadi lebih rumit selepas seluruh skuad dikenakan pemotongan gaji sebanyak 25 peratus berikutan kegagalan kelab layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Onana yang kini memasuki musim ketiganya bersama United sering dikritik kerana prestasi tidak konsisten sejak menyertai kelab dari Old Trafford itu.


Malah, kedudukannya sebagai penjaga gol utama juga semakin terancam apabila Amorim memberi lebih banyak peluang kepada Altay Bayindir, susulan kecederaan yang menjejaskan pemain Cameroon tersebut.

Difahamkan, Amorim menolak tuntutan kontrak baharu Onana dengan alasan prestasinya masih belum meyakinkan untuk menerima kenaikan gaji.


Tambahan pula, United menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu di tangga ke-15 — kedudukan terburuk dalam sejarah moden kelab — sekali gus memaksa pengurusan lebih berhati-hati dalam urusan kewangan.


Masa depan Onana kini menjadi tanda tanya apabila United baru sahaja menandatangani penjaga gol muda Belgium, Senne Lammens.


Kehadiran Lammens dijangka memberi saingan hebat, malah berpotensi menggugat status Onana sebagai pilihan utama di gawang.


Situasi ini menimbulkan persoalan besar tentang hala tuju karier Onana di Old Trafford. Adakah dia mampu bangkit untuk membuktikan nilainya kepada Amorim dan penyokong United, atau bakal menjadi nama besar seterusnya yang terpinggir akibat prestasi tidak konsisten?

Comments


bottom of page