top of page

Harimau Malaya Fokus Singapura & Palestin, Bukan Ralat Lepas CAFA

  • A. Zahid
  • Sep 4, 2025
  • 1 min read

Harimau Malaya tidak melihat ketiadaan mereka di kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 sebagai satu kerugian besar. Sebaliknya, pengendali skuad negara, Peter Cklamovski menegaskan dua aksi persahabatan menentang Singapura dan Palestin tetap menjadi medan ujian terbaik buat pasukannya.


Menurut beliau, kemenangan dalam perlawanan tersebut bukan sahaja menguji kemampuan sebenar pemain, malah akan memberi impak penting dari segi penambahan mata ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). “Tidak ke CAFA bukan bermakna kami tersasar daripada landasan.


Jika kami sertai, sasaran tetap untuk menang. Kami sentiasa bermentaliti menewaskan sesiapa sahaja di depan kami,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil.


Sebelum ini, Malaysia menarik diri daripada saingan CAFA berikutan perubahan tarikh penganjuran yang tidak selari dengan jendela antarabangsa FIFA.


Keputusan itu, menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), dibuat atas faktor logistik, kesediaan pemain, serta persiapan keseluruhan pasukan. Walaupun CAFA kemudian menegaskan tarikh asal tidak berubah, keputusan muktamad telah pun dibuat.


Cklamovski menambah, fokus utama kini ialah membina identiti permainan dan meningkatkan keyakinan penyokong bola sepak tempatan.


Beliau menekankan bahawa setiap peluang beraksi di pentas antarabangsa harus digunakan untuk menunjukkan corak permainan tersendiri dan menyuntik inspirasi kepada rakyat. “Kami mahu rakyat berdiri bersama pemain, membina bola sepak negara dan terus menyokong pasukan ini,” ujarnya.


Comments


bottom of page